Berperwatakan lembut dan memakai tudung tidak menghalang pelakon jelita Mia Ahmad untuk mengidamkan watak jahat untuk kerjaya seninya yang akan datang.

Mengakui ada pihak menganggap watak begitu tidak wajar dan membelakangi imej wanita yang menutup aurat, Mia menganggapnya sebagai realiti semasa.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, berkata, pertimbangan untuk memegang watak antagonis adalah sesuatu yang jarang dibuat oleh wanita bertudung.

“Saya memang tidak pernah membawa watak jahat.

“Yang pernah cuma wanita garang dan kasar.

“Orang akan fikir perempuan bertudung tidak sesuai memegang watak jahat, tetapi realitinya, ada ramai wanita yang berimej begitu tetapi jahat mulut dan juga perangai.

“Jika ada tawaran diberikan, saya bersedia untuk membawa watak sedemikian,” kata bekas pramugari syarikat penerbangan Air Asia X itu kepada Malaysiakini .

Mia ditemui di Istana Budaya selepas sidang media The Story II yang menampilkan penceramah seperti Datuk Redzuawan Ismail, Pengarah Urusan dan Pensyarah Kanan di Kolej Asia Brickfields Raja Singham.

Tetap rendah diri

Mia diundang sebagai artis jemputan pada acara yang akan diadakan pada 9 Januari ini di Istana Budaya.

Selain Mia, turut akan menceriakan suasana adalah pelakon dan penyanyi dari Indonesia, Tya Arifin.

Nama Mia mungkin baru dalam dunia hiburan tetapi ia tidak mengehadkan anak kelahiran Taiping, Perak itu daripada menjadi 'buruan' ramai di negara ini.

Kehebatan empunya diri adalah apabila namanya menduduki carta lima teratas dalam carian bagi Trending People Google 2015.

Namun, dengan perasaan merendah diri Mia hanya menjawab ringkas sebaik ditanya mengenai hal itu.

“Bagi saya, itu bukan pencapaian sebenar.

“Ya, berada pada kedudukan itu menunjukkan orang mengenali kita, tetapi mungkin ia bersebab.

“Saya masih baru, dan mungkin ramai ingin mengetahui siapa Mia Ahmad dan mereka mencarinya menerusi Google,” katanya.

Nama Mia naik mungkin disebabkan dia membintangi drama Hati Perempuan yang berada di kedudukan keenam dalam senarai 10 carian teratas Google.

Dan dalam masa sama, Mia juga dikaitkan gosip dengan hero cerita itu Syarul Ridzwan.

Sementara itu, demi memastikan kredibilitinya sebagai pelakon baru tidak dipertikai, Mia bercadang untuk mengambil kelas persendirian.

Bagi Mia, masih terdapat kekurangan dalam persembahan yang diberikan dan berasa wajar untuk meningkatkan mutu lakonannya.

Katanya, dia ingin mendalami ilmu lakonan daripada orang berpengalaman seperti Erma Fatima atau Ellie Suriati.

“Mungkin banyak lagi kekurangan diri.

“Walaupun jadual saya sibuk, saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan bakat untuk memberi kelonggaran agar saya boleh mengikuti kelas berkenaan.

“Sebagai seorang pelakon, perjalanan yang ditempuhi tidak lekang daripada proses pembelajaran," katanya.