Perkhidmatan TV Internet Amerika Syarikat (AS) Netflix akhirnya memasuki Malaysia lebih awal daripada dijangkakan.

Ia mencetuskan perhatian besar, terutamanya di media sosial, ketika pilihan rancangan hiburan dimonopoli perkhidmatan TV satelit Astro dan pengguna tidak mempunyai banyak pilihan.

Persoalannya, sejauh mana Netflix akan berjaya masuk ke pasaran Malaysia, sebuah negara yang mengawal kandungan hiburannya?

Netflix mungkin berdepan masalah yang tidak ditemuinya di AS sebelum ini.

Perkhidmatan itu menawarkan bayaran bulanan serendah RM33 sebulan dengan lambakan rancangan TV dan filem.

Angka ini dilihat lebih berbaloi berbanding perkhidmatan lain seperti Astro dan HyppTV oleh syarikat pembekal Internet HyppTV.

Bagaimanapun, Netflix dinanti-nantikan bukan sahaja kerana perkhidmatannya, tetapi namanya – yang menjadi sebuah jenama yang sinonim dengan penstriman video atas talian di seluruh dunia.

Bagaimanapun, sebelum Netflix tiba, iflix sudah pun memasuki pasaran negara ini dengan yuran bulanan serendah RM8.

Walaupun kandungannya tidak sekaya Netflix, iflix mempunyai apa yang tidak dimiliki Netflix, iaitu kandungan tempatan dan perkhidmatan mampu milik.

Di AS, Netflix bagaimanapun mengeluarkan kandungan berciri tempatan.

Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, iflix sudah pasti tidak mudah diketepikan.

Berdepan semua rintangan itu, Netflix bagaimanapun yakin pasaran dimasuki mereka sebenarnya amat besar untuk pelbagai pemain dalam industri.

Menjawab e-mel KiniBiz berkaitan pasaran Malaysia, Netflix berkata pengguna akan memilih perkhidmatan yang berbeza-beza kerana perbezaan dan kandungan eksklusif masing-masing.

Sementara itu, dalam isu penapisan, sesetengah rancangan yang mempunyai unsur ganas dan seksual, mungkin tidak ditawarkan untuk pengguna Malaysia.

[Baca artikel asal]