Pemilik rangkaian media dunia, Rupert Murdoch mengumumkan dia bakal mengahwini pelakon dan bekas supermodel Jerry Hall.

Menerusi laporan agensi antarabangsa, pasangan berkenaan membuat keputusan untuk berkahwin selepas menjalani tempoh perkenalan singkat iaitu hanya empat bulan.

Murdoch dan Jerry mengikat tali pertunangan di Los Angeles ketika menghadiri majlis Anugerah Golden Globes ke-73 semalam.

Hartawan berusia 84 tahun itu adalah Pengerusi Eksekutif News Corporation dan pemilik akhbar The Times.

Tokoh kelahiran Australia itu membuat kenyataan mengenai perkahwinan berkenaan menerusi ruangan iklan kelahiran, perkahwinan dan kematian dalam akhbar syarikatnya.

“Rupert Murdoch, bapa kepada Prudence, Elisabeth, Lachlan, James, Grace, Chloe Murdoch; manakala Jerry Hall ibu kepada Elizabeth, James, Georgia dan Gabriel Jagger, berbesar hati mengumumkan pertunangan mereka,” kata iklan itu.

Bibit cinta mereka berdua bermula pada penghujung musim panas lalu selepas diperkenalkan oleh seorang daripada anggota keluarga Murdock dan anak saudara perempuannya.

Tidak lama selepas itu, mereka mula membuat kemunculan bersama di khalayak ramai ketika perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi di London Oktober tahun lalu.

Pasangan itu masing-masing mempunyai 10 anak dari perkahwinan terdahulu.

Mereka dikatakan pergi bercuti di atas kapal layar di Caribbean selepas menyambut Krismas.

Kahwin tak pernah sah

Menurut jurucakap keluarga Murdoch, pasangan yang teruja menanti hari bahagia itu sedang menikmati saat gembira mereka.

“Selepas beberapa bulan bercinta, mereka kelihatan seronok dan teruja untuk berkahwin malah kelihatan tidak sabar untuk meniti masa depan bersama,” katanya.

Ini adalah perkahwian yang keempat Murdoch, dan kedua bagi wanita berusia 59 tahun berkenaan.

Jerry pernah berkahwin dengan penyanyi Mick Jagger pada 1990 dalam satu upacara yang diadakan di Bali, namun pasangan itu memfailkan perceraian pada 1999.

Jagger mendakwa perkahwinan itu sebenarnya tidak pernah sah di sisi undang-undang.

Murdoch pula pernah berkahwin dengan Patricia Booker, wartawan Anna Torv dan terakhir, Wendi Deng yang akhirnya bercerai pada 2013.

Spekulasi menyatakan Wendi ketika itu menjalinkan hubungan sulit dengan kawan baik Murdoch dan bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair.

Bagaimanapun, Blair menafikan mereka menjalin sebarang hubungan.

Dengan kekayaan dianggarkan bernilai lebih AS$11 bilion (RM148 bilion) Murdoch - kini menjadi warga AS - memiliki pelbagai akhbar berpengaruh termasuk The Wall Street Journal, The New York Post dan tabloid The Sun .