Fahrin idam industri filem 'lebih matang'
Impian Fahrin Ahmad sebenarnya agak mudah. Dia mengimpikan pembikin filem lebih berani apabila memberikan watak kepada pelakon sepertinya.
Dalam erti kata lain, Fahrin mengimpikan industri perfileman negara menjadi lebih ‘matang’ seperti Hollywood.
Mengulas mengenai senario semasa, Fahrin, 36, berkata kebanyakan penerbit atau pengarah cenderung memberikan watak utama kepada pelakon muda.
Hal begitu, kata Fahrin, tidak berlaku di Barat.
“Di negara ini, kita nampak pelakon veteran sering diberi watak sebagai bapa atau yang lebih kurang begitu.
“Perbezaan industri di Barat, umur 50 tahun masih boleh berlakon hero kerana ada yang berani mencipta watak sedemikian bagi usia seperti itu.
“Lihat aktor Bruce Willis masih berlakon sebagai wira untuk filem seperti Die Hard ,” katanya ketika ditemui Malaysiakini semasa sidang media jam pintar Samsung Gear S2 baru-baru ini.
Bagaimanapun, mengikut pendapat Fahrin, hal itu memang masih perlu bergantung kepada beberapa faktor.
Misalnya, kata Fahrin, aspek populariti pelakon yang kadang-kadang tidak dapat bertahan lama, atau mengalami turun naik.
“Seseorang pelakon perlu bijak untuk kekal berada di dalam industri.
“Pembikin filem pula harus bersedia untuk menjadikan sesuatu watak itu releven dengan pelakon yang agak berusia,” katanya.
Terpaksa buat kerja lain
Dan situasi semasa membuatkan peluang pelakon veteran tidak seluas pendatang baru.
Akhirnya, kata Fahrin, apabila kebanyakan artis veteran tidak lagi diberi peluang berlakon, mereka terpaksa berusaha mencari pelbagai jalan untuk meneruskan kehidupan.
Hal itulah yagn membuatkan pelakon filem Pilot Cafe itu terkilan.
Disebabkan tiada pekerjaan, ada pelakon yang terpaksa membuat bermacam-macam pekerjaan tidak berkaitan seni.
Tegas Fahrin lagi, pembikin filem juga harus lebih membuka minda dalam memberi watak kepada pelakon.
"Isu watak berulang mungkin boleh dianggap basi, tetapi itulah kenyataannya.
"Mereka tidak mempunyai pilihan untuk lebih berkembang malah melakonkan watak lebih mencabar, apatah lagi yang diinginkan.
“Sebenarnya type cast itu perlu dirisaukan kerana pelakon terperangkap dalam keadaan yang membuatkan pelakon asyik mendapat watak sama.
“Kenapa tidak karakter seperti orang gila diberi kepada sesiapa yang sering melakonkan watak cinta?
“Pada saya, pembikin filem tidak berani mencuba perkara baru yang mungkin sesuai untuk pelakon,” katanya.

