Taiwan memilih seorang penyanyi kumpulan heavy metal Freddy Lim sebagai salah seorang ahli parlimen negara itu dalam pilihan raya umum negara itu semalam.

Lim yang menjadi anggota kumpulan Chthonic bertanding menggunakan tiket Parti Kuasa Baru (NPP) dan memenangi kawasan Daerah Kelima.

Menariknya Lim adalah aktivis 'prokemerdekaan' yang berjuang untuk membebaskan Taiwan daripada sentimen pengaruh China, manakala NPP itu pula adalah parti baru ditubuhkan.

Di Daerah Kelima, Lim mengalahkah ahli politik berpengalaman dan veteran, Lin Yu-fang yang mewakili parti nasionalis pro-Beijing, Kuomintang.

Undi yang membezakan Lim dan Lin adalah besar - lebih 6,000 undi.

Selain kecenderungan band Chthonic yang menyanyikan lagu mengecam China, Lim sendiri unik kerana tampil di atas pentas dengan gaya tersendiri sesuai dengan sifatnya sebagai penyanyi irama heavy metal.

Pada 2007 di bawah pentadbiran Presiden Chen Shui-bian dari Parti Progresif Demokratik (DPP), Lim dan Chthonic mengadakan konsert di AS atas jemputan pejabat perwakilan Taiwan di negara itu.

Wanita menang besar

Tujuannya adalah untuk mempromosi Taiwan sebagai calon ahli PBB.

Lim juga berkempen untuk calon presiden mewakili DPP, Frank Hsieh pada 2008.

Namun sokongan Lim kepada Chen berubah selepas presiden itu terbabit dalam rasuah sehingga membawa kepada pemenjaraannya.

Lim sekali lagi mencuri perhatian. Empat tahun selepas Chen dipenjara, pada 2012 Lim melawat bekas presiden itu.

Lim kemudian mengkritik kerajaan kerana keadaan banduan di penjara berkenaan. Bagi Lim hak asasi manusia di penjara Taiwan tidak dipertahankan dengan wajar.

Pilihan raya umum Taiwan kali ini memang unik.

Selain seorang penyanyi heavy metal dilantik sebagai ahli parlimen, rakyat Taiwan juga membuka jalan kepada seorang wanita - untuk kali pertama dalam sejarah negara itu - menjadi presiden.

Tsai Ing-wen memimpin DPP mencatat kemenangan besar selepas mengumpul 6.89 juta (atau 56.12 peratus) undi.

DPP juga menjadi kerajaan untuk kali kedua selepas pilihan raya presiden diamalkan di Taiwan sejak 1996.

Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan mengenai Lim dan perjuangannya membawa politik baru kepada rakyat Taiwan.