Tetamu yang menghadiri majlis kenduri perkahwinan Serra Monica pada 23 Januari ini akan dihiburkan dengan sesuatu yang istimewa daripada Julia Perez.

Menjanjikan perkara itu, Julia - lebih dikenali sebagai Jupe - berkata dia akan menghiburkan orang ramai di majlis kenduri adik keduanya itu dengan 'tarian perut'.

"Pada malam itu aku mahu menari perut, istimewa untuk adikku," katanya kepada media semalam.

Bintang filem Basahhh... itu berkata Serra akan bernikah dengan lelaki pilihannya, Fauzan, di Balai Komando di Cijantung, Jakarta Timur.

Tema majlis keraian itu pula adalah "Malam Arab".

Justeru, kata Julia, sesuai dengan tema kenduri itu dia akan memastikan konsep berkenaan akan benar-benar dirasai semua yang hadir.

"Pada malam itu saya akan keluarkan kebolehan saya menari perut untuk menghiburkan pengantin dan tetamu.

"Saya pernah belajar menari gelek dulu tetapi belum ada kesempatan mempamerkannya kepada umum," katanya.