Azwan diancam saman pengeluar kicap
Memohon maaf dan membuat aku janji - itu tuntutan yang diberikan kepada personaliti hiburan Azwan Ali atau dia mungkin berdepan tindakan mahkamah oleh sebuah syarikat pengeluar kicap.
Peguam Tirana Products Sdn Bhd Adnan Seman berkata, syarikat milik bumiputera itu memberi tempoh sehingga 26 Januari ini untuk Azwan memenuhi tuntutan berkenaan.
“Pada 12 Januari kami mengeluarkan surat tuntutan berkaitan kenyataan dikeluarkan Azwan Ali melalui akaun Instagram beliau menggunakan nama divaazwanavazz," katanya di sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Azwan didakwa membuat kenyataan berunsur melampau mengenai kicap keluaran Tirana melalui Instagram.
Rakaman itu juga dianggap bersifat provokasi.
Adnan berkata jika Azwan gagal mematuhi tuntutan diberikan sehingga tarikh yang ditetapkan, pihaknya akan berbincang dengan syarikat itu bagi menentukan langkah selanjutnya.
Kata Adnan, melalui surat tuntutan itu mereka memberi tempoh 14 hari kepada Azwan untuk mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara bertulis dan berjanji untuk tidak lagi membuat sebarang kenyataan atau pun rakaman video berunsur fitnah terhadap produk Tirana.
Pihaknya juga mahu Azwan membuat permohonan maaf secara bertulis dan disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.
Mengulas mengenai isu itu pemilik bersama Tirana Products, Dr Hilmi Murad Mohamed, berkata syarikatnya mengalami kesan buruk ekoran kenyataan dibuat Azwan.
Justeru, beliau berharap bekas pengacara Muzik Muzik itu mengambil inisiatif untuk menjernihkan keadaan.
"Komen yang diberikan (Azwan) pedan dan agak melampai. Jika iklan (produk) saya teruk, ada cara lain untuk menegur.
"Buatlah teguran secara beradab kerana kita orang Melayu beragama Islam," katanya.

