Mariah Carey dilamar orang ke-4 terkaya Australia
Penyanyi Pop Mariah Carey diramal bakal melangsungkan perkahwinannya dengan jutawan Australia James Packer tahun ini.
Majlis pertunangan mereka dilapor berlangsung dalam acara ringkas dan tertutup yang dihadiri kenalan rapat pasangan berkenaan di Eleven Madison Park, New York.
“Dalam majlis berkenaan, James melutut dan melafazkan lamarannya kepada Mariah, dan wanita itu bersetuju!” kata seorang jurucakap kepada media.
Dan kini, ke mana-mana Mariah pergi, dia tidak lupa memakai aksesori mahalnya, iaitu cincin pemberian James.
James, warga Australia seorang pemilik kasino dan sebahagian daripada dinasti media di negaranya.
Dia juga dikenali sebagai lelaki nombor empat paling kaya di Australia.
Kahwin kali ke-3
Datuknya, Sir Kerry menguasai Australian Consolidated Press dan rangkaian TV Nine Network, manakala bapa James pula pernah mencatat sejarah sebagai pencetus revolusi sukan kriket secara global menerusi World Series Ventures (1970).
Pasangan itu mula bercinta Jun tahun lalu, beberapa bulan selepas penyanyi jelita berkenaan dilaporkan berpisah dengan suaminya Nick Cannon.
Hasil perkahwinan Mariah dan Nick, mereka dikurniakan dua anak.
Sebelum itu, Mariah juga pernah berkahwin dengan eksekutif muzik Amerika Syarikat Tommy Mottola, dan ini bermakna, dia akan berkahwin buat kali ketiga.
James juga pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan mempunyai tiga anak.
Bagaimanapun, masih belum ada tarikh rasmi mengenai perkahwinan Mariah dan James yang bakal berlangsung.

