Straight Outta Compton adalah sebuah filem biografi tentang sebuah kumpulan rap N.W.A. yang lahir dari suasana diskriminasi polis, ketegangan kejiranan dipenuhi gengster, dadah dan permasalahan sosial.
Suasana harian yang sentiasa tegang - baik daripada hentakan tangan pihak polis atau kejiranan itu sendiri - membekalkan satu cita-cita agung kepada lima pemuda, Eazy E, Dr Dre, Ice Cube, Mac Ren dan Dj Yella untuk melakukan sesuatu bagi menyuarakan pandangan mereka kepada dunia.
Filem ini sangat nostalgik dan ikonik kerana N.W.A. adalah perintis kepada irama Gangsta Rap dalam genre hip hop.
Semua ahli N.W.A. merupakan legenda yang banyak menjadi inspirasi kepada artis lain selepas mereka.
Melalui Straight Outta Compton kita dibawa ke dalam suasana kejiranan Compton di California yang sentiasa mendapat persepsi buruk dan diskriminasi polis.
Pada satu tahap - dengan kemelut yang tiada sudah - Dr Dre mendapat satu ilham dan bergabung dengan Eazy E sehingga tertubuhnya Ruthless Record dan menjadikan N.W.A. sebagai artis di bawahnya.
Cerita itu berkembang dari sini. Dari kejayaan mereka, susah senang mereka, kejatuhan sehingga berpecah, penubuhan Death Row Records dan akhirnya dengan kematian tragis Eazy E.
Apa yang menarik dalam filem ini, adalah lakonan O'Shea Jackson Jr anak kepada Ice Cube yang memegang watak Ice Cube dengan sangat baik.
Dengan gerak tubuh dan memek muka yang seiras ayahnya, boleh dikatakan lakonan itu sangat berjaya.
Lagu-lagu yang dimainkan juga sedikit sebanyak berjaya membawa penonton terutama sesiapa yang meminati hip hop dan pernah mengikuti perkembangan N.W.A. kepada memori silam.
Ada yang terkilan
Paling nostalgik adalah apabila dipersembahkan adegan bagaimana N.W.A. dilayan seperti binatang oleh polis sehingga terhasilnya sebuah lagu yang menjadi lagenda pada tahun itu, F*** the Police .
Mendengar mereka mendendangkan lagu itu semula dalam suasana yang sebegitu memberi impak rasa yang sukar diluahkan.
Seperkara lagi, yang menjadi keterujaan menonton filem ini adalah kemunculan dua lagi legenda gangsta pap yang tidak dijangka, iaitu Tupac Shakur dan Snoop Dogg.
Sewaktu melihat bagaimana Dr Dre membuat lagu duet dengan Snoop Dogg ( Nuthin But A G Thing ) dan dengan Tupac Shakur ( California Love ), ia memberi kepuasan yang sangat tinggi.
Staright Outta Compton adalah filem biografi yang memaparkan impak kekuasaan prinsip kebebasan bersuara dan keburukan menggunakannya dengan melampaui batas.
Sesiapa yang meminati hip hop dan gangsta rap wajib menonton filem ini kerana banyak sejarah awal boleh diketahui.
Walaupun seperti ada fokus yang lebih kepada perjalanan watak Dr Dre, ia dirasakan perlu kerana Dr Dre adalah ikon yang banyak merekrut artis rap berkualiti sewaktu berada bersama Suge Knight di Death Row Records (selepas Dre keluar dari Ruthless Records).
Kematian Eazy E memberi kesan yang mendalam baik kepada ahli N.W.A. sendiri dan juga peminat hip hop di zaman itu.
Boleh dikatakan penamat filem ini sebenarnya ialah ketika Dr Dre enggan bersama Suge Knight dan mahu menubuhkan syarikat rakamannya sendiri.
Dialog Dr Dre dan Suge Knight ketika itu sangat nosltagik. Suge Knight bertanya kepada Dr Dre, apakah nama syarikat rakaman baru itu.
Dan Dre menjawab: "Aftermath". Dan realitinya, tahun itu, muncullah album Aftermath - sebuah album Dr Dre bersama beberapa rappers terkemuka.
Lagu yang termashyur ketika itu ialah East Coast West Coast Killas namun agak terkilan juga kerana ia tidak diperdengarkan dalam filem ini.
MUHD IQBAL mekanik pesawat komersial dan pakar penyenggaran bateri pesawat udara. Selain berminat kepada subjek mekanikal dia juga menggemari filem, sama ada tempatan atau luar negara.
