Bob cari bakat untuk dihantar ke Hollywood
Penyanyi Bob AF2 kini turun padang mencari bakat baru untuk dihantar mewakili Malaysia ke pertandingan Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-20 di Hollywood, AS.
Kejohanan yang dianjurkan setiap tahun itu dianggap sebagai ‘Olimpik’ bagi dunia seni persembahan.
Untuk menghantar peserta Malaysia ke Hollywood, pencarian teliti dilakukan bagi menyaring bakat supaya benar-benar mampu memberi cabaran.
Di situlah peranan Bob - sebagai bekas peseta dan penggerak persatuan alumni yang baru ditubukan pada tahun ini - iaitu menggalas tanggungjawab besar untuk memberi peluang kepada bakat baru.
“Kami ingin mencari, melatih dan mencungkil individu yang berbakat besar untuk mewakili Malaysia.
“Apa kami nak lakukan adalah memastikan calon mencapai standard yang digariskan WCOPA,” katanya di sidang media program Worldstar: Road to Hollywood yang diadakan di Ampang baru-baru ini.
Bob sendiri pernah mewakili Malaysia ke WCOPA pada 2009.
Dan sejak itu, dia sering dijemput menjadi juri untuk membuat pemilihan bakat baru dari 2011 hingga 2014.
Selain juri, Bob berperanan sebagai jurulatih untuk kategori vokal dan muzik.
“Saya mahu beri peluang dan ruang kepada bakat baru untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Sekiranya mereka pulang dengan kemenangan, diharap kemenangan itu tidak dipersiakan.
“Harapan saya, akan ada kelangsungan bagi pemenang untuk terus bertapak dalam industri hiburan.
“Saya mahu peserta yang menang terus berusaha dan tidak mengalah untuk mengembangkan karier mereka kemudian,” katanya.
Tahun ini, program Worldstar: Road to Hollywood membuka penyertaan antara Mac hingga April. Sesiapa yang berminat menyertai sesi uji bakat mereka boleh melakukannya dengan bayaran RM90.
Ia bukan saja terhad kepada nyanyian. Selain seni suara individu yang berbakat dalam bidang tarian, muzik, peragaan dan lakonan digalakkan untuk menghadiri sesi berkenaan yang akan diadakan di beberapa buah lokasi di Kedah, Johor Bahru, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.
Jika berjaya mereka berpeluang bersaing merebut kemenangan dengan bakat baru dari kira-kira 50 buah negara.
Untuk makluman, Malaysia pernah memenangi beberapa kejohanan WCOPA yang diadakan pada tahun sebelum ini.
Tahun lepas, Malaysia berjaya merangkul anugerah Grand Champion of the World dalam dua kategori iaitu vokal senior dan tarian junior.
Program itu dikendalikan oleh Matme Sdn bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

