Siapa sangka Nikita Mirzani yang didakwa terbabit dalam rangkaian sindiket pelacuran kelas atasan baru-baru ini pernah bersekolah pondok di zaman reamajanya.
Bertempat di Ngawi, Jawa Timur, Nikita belajar agama di Pesantren Gontor Putri Mantingan.
Namun kata salah seorang pegawai pondok itu, Prof Dr Amal Fathullah Zarkasyi, pengajian Nikita tidak tamat dan dihantar pulang ke kampung halamannya selepas enam bulan.
"Di sini ada proses penyesuaian selama enam bulan," katanya.
Sepanjang tempoh itu seseorang pelajar akan dinilai sama ada sesuai atau tidak menyambung pengajiannya.
Kata Amal Fathullah perwatakan Nikita didapati tidak secocok untuk ditempatkan di pondok berkenaan.
"Sejak di pondok nakalnya memang ada. Kami tidak nafikan," katanya kepada merdeka.com.
Seorang lepasan pondok itu, Amalia, berkata ketika ibu bapa Nikita membawanya ke situ, dia kelihatan memberontak.
"Selepas membuat masalah, akhirnya Nikita dikeluarkan," katanya.
Pondok Gontor itu sebenarnya memang terkenal. Selain Nikita ada ramai lagi lepasannya yang terkenal - walaupun untuk alasan yang berbeza.
Salah seorang daripada mereka ialah Abu Bakar Baasyir yang didakwa menjadi ketua kumpulan Jemaah Islamiah dan Nurcholish Majid yang terkenal sebagai ilmuan setempat.
Sementara itu di awal tahun ini Nikita menyatakan rancangannya membabitkan diri dalam dunia perniagaan.
Bidang yang akan diceburinya pula ialah coli, seluar dalam wanita dan bikini.
"Saya bukan orang yang suka mengikut orang lain. Jika saya mahu buat sesuatu, saya biasanya pastikan ia unik dan berbeza daripada orang lain," katanya.
Mengakui kini sudah 40 peratus bersedia, dia menjangkakan perniagaan itu akan dimulakan bulan depan.
"Saya akan menghasilkan rekaan sendiri dan ia adalah edisi terhad," katanya.
