Hitam Fynn bukan syiah
Hitam biasa-biasa - begitu Fynn Jamal menegaskan mengenai kecenderungannya mengenakan jubah berwarna itu ketika ke mana-mana.
Tidak seperti wasangka sesetengah pihak hitam itu tidak membawa sebarang maksud tersirat, apa lagi perlambangan fahaman syiah.
Pemilik nama sebenar Affina Yanti Jamalludin, 33, itu berkata ada tuduhan sebegitu dilemparkan terhadapnya oleh segelintir individu termasuk di Instagram.
“Warna hitam yang saya gunakan sememangnya tidak membawa sebarang maksud.
“Ia tidak juga bererti saya penganut fahaman syiah hanya kerana berjubah hitam,” jelasnya ketika ditemui di sidang media pelancaran produk Caliph Cereals – Nutrition for Eyes di Terrace Place, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Fynn, tidak cukup dengan itu, dia turut dikecam sebagai kedekut kerana tidak mahu berbelanja untuk mengubah penampilannya itu.
Tetapi penyanyi Arjuna Beta itu mempunyai alasannya tersendiri.
“Bukan saya tidak mahu, bagi saya memilih satu warna untuk dipakai setiap hari adalah lebih mudah.
“Ia juga menjimatkan waktu daripada memikirkan perkara yang membuang masa di depan almari untuk memilih mana satu pakaian yang sesuai.
“Soal pemakaian biarlah saya lebihkan untuk anak saya, Arjuna,” katanya.
Besarkan 'anak syurga'
Kata Fynn, imej berkenaan tidak mendapat bantahan daripada suaminya, malah pasangan itu selesa mengenakan hitam sebagai ‘warna tema’ seharian.
Biarpun kadang-kadang, warna hitam turut dipersoalkan oleh keluarga terutama ibu, ayah dan rakan.
“Biarlah apa orang nak fikir, yang penting saya tidak membuat sebarang kesalahan.
“Asalkan pakaian dipakai bersih, itu sudah cukup bagi saya.
“Zaman saya dengan pakaian ala punk sudah berlalu,” katanya.
Sementara itu, Fynn turut berkongsi pengalamannya membesarkan anak yang mengidap autisme.
Menurut Fynn, cabaran itu dianggap sebagai satu hikmah buat dirinya yang sebelum ini begitu menginginkan anak.
“Antara cabarannya ialah ketika berkomunikasi dengan anak autisme, selain itu keinginan orang sekeliling yang turut mahu mengajar kami menjadi ibu bapa," katanya.
Austisme adalah sejenis keadaan mental yang wujud sejak zaman kanak-kanak kesan daripada perkembangan otak yang kompleks.
Satu daripada kesan autisme adalah kesukaran untuk berkomunikasi serta perkembangan perhubungan sesama manusia.
Kata Fynn, ketika keadaan memerlukan dia menenangkan Arjuna, perbuatannya mengundang persepsi masyarakat bahawa dia terlalu manjakan anak.
“Arjuna bukan seperti anak lain, kalau dia meragam, saya terpaksa akur dengan kerenahnya," kata Fynn.
Selain autisme, Fynn juga diuji lagi melalui Arjuna apabila anaknya itu terpaksa berdepan dengan maut kerana mengidap masalah jantung berlubang ketika hanya berusia tiga minggu.
Apabila besar, kerenahnya semula jadinya sudah 'mengorbankan' lima iPad.
“Apa yang penting, dia anak syurga. Justeru apabila sudah dapat dia, kenapa saya perlu merungut?" katanya.

