Pada usia masih muda pelakon kanak-kanak Mia Sara Nasuha, 11, memilih untuk berhijab dan mendakwa keputusannya itu membawa beberapa perubahan baru pada dirinya.

Mia berkata, sejak berhijab kebanyakan pengikutnya di media sosial menunjukkan respon positif.

Antara perkembangan baik, kata Mia, ialah apabila pengikut di media sosial memberikan pandangan dengan lebih teratur menyebabkan dia berasa dirinya lebih dihormati.

“Tiada lagi pengikut yang sesuka hati ingin memaki atau membuli,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran produk bijirin Caliph Cereals di Flora Terrace di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Selain Mia, penyanyi Fynn Jamal turut menjadi duta produk Caliph Cereals - Nutrition For Eyes.

Mia mula berhijab pada penghujung tahun lalu, iaitu selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah.

Kata pelakon cerita Papa I Love You itu, pada hari pertama mengenakan hijab, dia 'diserbu' rakan sekolah yang gembira dengan perubahan berkenaan.

Pun begitu, masih ada segelintir kecil peminat yang tidak bersetuju dengan imej barunya.

Rezeki datang dari sumber lain

Tetapi kata pelakon cilik itu, dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan perkara sedemikian.

Hasrat untuk menutup aurat itu sudah lama dipendam Mia dan keputusan itu diketahui oleh ayah dan keluarganya sebelum dia berangkat ke Mekah.

Kata penuntut darjah lima Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara itu lagi, walaupun kini tampil dengan imej baru, dia masih mahu mengekalkan dirinya yang lama pada umum.

“Saya mahu jadi diri sendiri.

“Tidak perlu ubah pembawakan diri dengan mendadak hingga tidak lagi seperti diri saya,” katanya.

Alhamdulillah setelah selesai tawaf dapat ambil gambar kenangan di depan Kaabah. Mia gembira sgt kerana Allah SWT tunaikan hasrat Mia nak kemari. Mia doakan pada semua rakyat Malaysia agar mendapat kesihatan yg baik dan semoga segala permintaan yg baik di makbulkan Nya. Amin #2nddaymekah

A photo posted by Mia Sara Nasuha (@therealmiasara) on

Menurut pelakon yang memasang cita-cita untuk menjadi pengurus bakat itu, keputusan berhijab dilakukan tanpa paksaan sesiapa.

Mengenai perkembangan selepas berhijab, Mia akui tawaran berlakon sudah tidak serancak dahulu, namun bersyukur apabila masih peroleh rezeki menerusi bidang lain.

“Ada pihak produksi masih inginkan Mia yang dahulu (tidak berhijab).

“Hendak kata tiada rezeki dalam lakonan, peluang itu masih ada di tempat lain (seperti menjadi wakil produk).

“Jualan tudung MS Couture juga kian meningkat,” katanya.

Label MS Couture adalah perniagaan tudung yang diusahakan Mia.

Usaha Mia dengan penampilan baru dilihat bersunguh-sungguh.

Sekiranya, diberi pilihan, dia mahukan penampilan itu tidak menjadi isu untuk masa akan datang.

“Saya tidak akan membuka tudung untuk tawaran selepas ini.

“Sekiranya diminta berbuat demikian, saya akan menolaknya,” katanya dengan penuh yakin.