Tidak ada janggalnya jika penyanyi Aizat Amdan menggunakan strategi pemasaran artis Korea untuk meneruskan kelangsungan kerjaya muziknya selepas melihat pengaruh K-Pop berjaya mencetus fenomena di seluruh dunia.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 27, berkata produksi Kasi Gegar Entertainment (KGE) miliknya muncul dengan idea berkenaan selepas melihat kaedah itu sering mendapat respons positif orang ramai.

Melalui strategi itu, kata Aizat, KGE bercadang menghasilkan satu single setiap bulan pada tahun ini.

“Strategi berbeza ini diharap membawa perubahan dalam pembikinan album saya berbanding pendekatan yang digunakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sidang media Gegar Aizat di Ampang semalam.

Kata Aizat, pendekatan satu single sebulan itu bukan perkara baru kerana strategi sedemikian sudah diguna pakai sejak sekian lama oleh artis luar.

Malahan, katanya, ada artis mengeluarkan lagu selang seminggu sebelum melancarkan album penuh.

Dan menariknya, projek berkenaan mempunyai tema berlainan untuk setiap bulan bermula dari Januari hingga Disember.

“Lagu yang akan diperdengarkan kepada peminat mempunyai tema berbeza mengikut bulan.

“Sebagai contoh, Januari membawa tema pembukaan tahun, Februari dengan kisah cinta, Jun dan Julai mengenai ketuhanan sempena bulan puasa dan raya,” katanya.

Tak semua sesuai di radio

Kemudian, kesemua 12 lagu yang dihasilkan pada setiap bulan itu akan dimuatkan dalam sebuah album.

Kesinambungan daripada projek itu, peminat dihadiahkan dengan satu Konsert Live Aizat Amdan yang dijadualkan pada Januari 2017, bersempena 10 tahun dia mengabdikan diri dalam karier seni.

Tambah Aizat, kesemua lagu berkenaan turut dilancarkan bersama klip video yang dimuatkan menerusi saluran OfficialAizatAmdan atau laman penaja id YouTube.

Selain itu, untuk aktiviti sepanjang tahun, peminat berpeluang mengikuti proses pembuatan lagu menerusi vlog dan laman sosial Aizat.

Ditanya mengenai persoalan ciplak lagu, Aizat percaya kaedah itu adalah yang terbaik, selaras dengan kemajuan teknologi terkini, kerana YouTube sesuai menjadi platform untuk mempromosi sesebuah lagu.

“Bagi saya, memang ia sebahagian daripada gimik pemasaran kerana berupaya menarik perhatian pendengar.

“Alternatif itu dipilih ekoran tidak semua karya saya sesuai untuk diperdengarkan di stesen radio.

“Di mana-mana akan timbul masalah ini.

“Sebenarnya paling penting, ia bukan mengenai hasil pulangan, bagi saya, keutamaan adalah kepada pendengar yang menghabiskan masa untuk mendengar karya yang dicipta,” katanya.