Maya Karin kini ada cinta baru
Aktres jelita Maya Karin kini tampil sekali lagi sebagai penyanyi - namun kini dia tidak hadir secara solo sebalikya diiringi band.
Dia juga mengakui semakin 'jatuh cinta’ kepada rock walaupun jiwa asalnya lebih suka kepada jazz.
Maya, 37, berkata sepanjang kariernya sebagai penyanyi, dia sering menyanyi secara solo di atas pentas.
Lantaran itu, timbul perasaan jelak ekoran terlalu lama bergerak secara sendirian dan mahukan pembaharuan yang boleh memberi inspirasi pada setiap persembahan akan datang.
“Sudah 12 tahun saya berada dalam industri nyanyian secara solo.
“Hati saya memberontak inginkan sesuatu yang baru kerana tidak mahu lagi membuat persembahan dengan menggunakan minus one .
“Syukur, enam bulan lepas secara tidak langsung saya mempunyai band apabila Warner Music menambah dua gitaris, dan percussion serta basis ,” kata Maya ketika di sidang media pelancaran album Juzzthin - Class is in Session di Petaling Jaya semalam.
Belajar lebih bersahaja
Kepopularitian bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam itu dalam dunia lakonan membuatkan namanya gah dalam bidang berkenaan berbanding nyanyian.
Namun, sekiranya Maya dapat mencapai keputusan muktamad mengenai perkembangan kariernya sebagai penyanyi, mungkin segalanya boleh berubah selepas ini.
Kata Maya, buat masa ini band berkenaan belum diberi nama kerana projek itu masih di peringkat awal.
“Idea untuk tubuhkan band secara rasmi memang menarik terutama saya bukan seorang diri lagi di atas pentas.
“Dengan band saya boleh menjadi diri sendiri di atas pentas dan belajar lebih bersahaja terutama kalau terlupa lirik,” katanya.
Tetapi untuk itu, Maya sudah mulai berjinak-jinak dengan genre rock kerana kagum dengan sambutan menggalakkan diberikan penonton.
“Kalau ikutkan hati dan menyanyi sendirian, memang saya akan pilih genre seperti folk jazz, tetapi genre seperti itu susah cari makan di sini.
“Kini saya tertarik dengan rock apabila melihat respon penonton yang menggalakkan ketika membuat persembahan.
"Selepas mendengar saya menyanyi rock, penonton yang seakan hilang semangat terus kembali ceria," katanya.
Untuk memastikan keselesaannya membawa konsep berkenaan, Maya sudahpun memulakan sesi latihan di studio bersama band dengan membawa lagu pernah dinyanyikan artis lain, termasuk Ella.
Masih gementar, gugup
Maya mulai aktif berkecimpung sebagai penyanyi pada tahun 2002.
Dia pernah mendapat pencalonan sebagai Penyanyi Baru Terbaik dan Video Terbaik di Anugerah Industri Muzik menerusi album Erti Cinta.
Maya pernah merakamkan tiga album di sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Selepas penerbitan album kedua berjudul Bukan Qalamaya (2004), Maya meninggalkan bidang nyanyian selama sembilan tahun sebelum kembali semula pada 2013.
Justeru, Maya menjelaskan terdapat beberapa perkara perlu dititikberatkan sebelum dia yakin untuk memberi kata putus mengenai karier nyanyiannya itu.
“Saya masih belum puas berteka-teki dengan hala tuju karier seperti ini kerana selama bertahun, nama saya kukuh dalam industri sebagai aktres dan hos rancangan.
“Lagipun, saya pernah meninggalkan bidang nyanyian selama sembilan tahun.
“Sebagai pelakon, saya masih gementar dan gugup untuk berada di depan kamera, begitu juga berhadapan cabaran sebagai penyanyi.
“Saya masih perlu memperbaiki diri saya dari segenap perkara,” katanya.

