Bowie mahu 'abadi' di Bali
Lagenda rock David Bowie mempunyai satu permintaan unik yang mahu ditunaikan selepas dia meninggal dunia.
Media antarabangsa melaporkan, bintang kelahiran Britain itu mahu abu mayatnya ditabur di sekitar Pulau Bali menigkut ritual Buddha.
Dan bagi memastikan keinginannya dapat dilaksanakan, Bowie dikatakan memfailkan permintaan berkenaan di sebuah mahkamah di Manhattan.
Majoriti penduduk di Pulau Bali terdiri daripada penganut Hindu.
Pulau itu terkenal kerana mempunyai alunan muzik yang unik disamping mempunyai budaya seni yang tinggi serta sesuai menjadi lokasi pencari kerohanian.
Bowie meninggal dunia dua hari selepas sambutan majlis hari lahirnya yang ke-69, pada 8 Januari lalu.
Dia ‘tewas’ selepas 18 bulan berperang dengan penyakit kanser hati.
Tarikh itu juga menjadi kali terakhir Bowie melancarkan album iaitu yang ke-28, Blackstar.
Bowie meninggalkan seorang balu dan dua anak iaitu pembikin filem Duncan Jones serta anak perempuan, Lexi.
Pemergian Bowie tidak begitu saja, selain album, penyanyi Space Oddity itu meninggalkan sejumlah harta kekayaan kepada balu dan anaknya.
Balu Bowie, supermodel Iman dikatakan menerima separuh daripada kira-kira AS$100 juta (RM414.3 juta) dan kediaman mereka di daerah Soho, New York.
Manakala Duncan dan Lexi mendapat jumlah yang selebihnya.
Selain permintaan abu, Bowie juga mahukan upacara kematiannya hanya dihadiri oleh orang tersayang dan rakan terdekat.
Bowie dipercayai menghabiskan kebanyakan masa di Bali dan beberapa tempat lagi di Indonesia.
Dalam satu lirik lagu yang dinyanyikan oleh Bowie, Tumble dan Twirl ada beberapa perkataan yang menggambarkan betapa dia mencintai pulau itu.
Selepas kematian Bowie, media menyiarkan gambarnya memakai sarung Indonesia.
Dia juga ada menggunakan versi bahasa Indonesia dalam beberapa buah lagunya.

