Alam perkahwinan kedua dikatakan berjaya mematangkan pelakon Nabila Huda Suhaimi yang sebelum ini sering terpalit kontroversi apabila imej dan kehadirannya di tempat sosial menjadi perhatian ramai.
Menyedari segala tindakannya mencerminkan diri sendiri dan mengundang tohmahan, Nabila, 32, atau lebih mesra dipanggil Abil itu nekad mengambil langkah lebih berwaspada.
“Cukuplah, saya tidak perlu pergi ke acara hiburan yang tidak berkaitan dengan saya.
“Sejak berkahwin, saya mahu mengubah gaya hidup daripada yang pernah dilalui dulu,” katanya selepas sidang media pratonton filem
Munafik
di Kuala Lumpur malam tadi. Filem itu bakal ditayangkan kepada umum mulai 25 Februari ini.
Sebelum ini Nabila memang pernah beberapa kali terperangkap dalam kontroversi apabila imej dan kehadirannya di tempat sosial menjadi perhatian umum.
Selain kini dilihat memiliki tubuh badan lebih berisi, kegembiraan Nabila itu dilihat terserlah pada wajahnya ketika ditemui.
Menurut anak vokalis kumpulan Search, Amy, itu sejak bergelar isteri kembali , dia mahu menghargai dan menumpukan perhatian pada dirinya dan keluarga.
“Sudah tentu perkahwinan ini membawa kegembiraan buat saya yang selama ini sunyi kerana hidup berdua saja dengan Keisha.
“Saya ingin menjalani kehidupan bahagia berkeluarga seperti orang lain dan membahagi masa untuk diri sendiri kerana sebelum ini jadual padat.
"Dengan usia sebegini, sudah sampai masanya untuk saya melakukan perkara baru dan digemari demi kebahagian diri dan masa depan,” katanya.
