Madonna dikutuk di New Zealand pula
Madonna terus dikecam oleh pihak gereja dan kali ini seorang paderi Katolik Roman mengecam penyanyi itu menjelang dua konsertnya di New Zealand hari ini dan semalam.
Paderi Patrick Dunn menyifatkan bintang pop itu sebagai keterlaluan menghina penganut ajaran Kristian dalam satu wawancara dengan akhbar New Zealand Herald.
Dunn turut menggesa persembahan Madonna di masa depan diboikot.
"Tanpa diragui lagi beberapa karya Madonna amat bertentangan dengan ajaran Kristian dan kepercayaan orang yang beriman.
"Bukan itu saja, karya dipersembahkan Madonna turut menyentuh sensitiviti budaya.
"Walaupun di New Zealand kadang-kala soal agama dipandang remeh, masih ada masyarakat dengan kepercayaan selain Kristian yang mewakili lebih separuh daripada populasi kita.
"Dalam masyarakat berbilang budaya dan agama seperti New Zealand, adalah penting penghibur seperti Madonna hanya mementingkan budaya daripada perspektif mereka semata-mata," katanya.
Konsert berkenaan berlangsung di Vector Arena Auckland.
Madonna dan kontroversi sememangnya sinonim khususnya membabitkan soal agama.
Pernah beberapa kali dia ditegur pemimpin Krisitan disebabkan aksi yang dipaparkan dalam klip videonya.
Pada 1989 misalnya lagu popular Madonna
Like A Prayer
menimbulkan kontroversi sebaik saja ia dipasarkan.
Setahun kemudian, pemimpin Kristian menggesa siri jelajah Blonde Ambition diboikot selepas Madonna beraksi tidak senonoh ketika menyampaikan lagu berkenaan.
Ketika ini Madonna, 57, sedang mengadakan jelajah dunia bagi konsert Rebel Heart selepas menerbitkan album - juga menggunakan judul sama - pada Mac 2015.
Sebelum itu, Madonna turut dikecam "tidak menghormati simbol Katolik dan Kristian" semasa mengadakan konsert di Singapura baru-baru ini.
Dia juga pernah dikutuk oleh rakyat Filipina kerana tidak menghormati bendera kebangsaan mereka semasa mengadakan konsertnya di negara berkenaan.
Dia dilaporkan diharamkan dari menjejakkan kaki ke negara itu lagi.

