Di celah-celah nama besar pemimpin negara yang didedahkan melalui pendedahan dikenali sebagai Panama Papers beberapa hari lalu, ada nama legenda perfileman Indian, Amitabh Bachchan.

Di India agensi berita yang terlibat dalam penyiasatan maklumat diperoleh daripada firma guaman Panama, Mossack Fonseca, ialah The Indian Express.

Melalui pendedahan itu Bachchan didakwa dilantik sebagai pengarah kepada empat syarikat perkapalan yang didaftarkan di luar pesisir pantai bagi mengelakkan cukai.

Menurut laporan berkenaan syarikat itu ditubuhkan 23 tahun lalu.

Semalam Bachchan - untuk kali pertama sejak pendedahan itu diterbitkan - memberi reaksi kepada dakwaan berkenaan.

Kata pelakon berusia 73 tahun itu, dia tidak tahu menahu mana-mana syarikat yang dilaporkan The Indian Express itu.

"Saya tak pernah menjadi pengarah kepada mana-mana syarikat berkenaan. Ada kemungkinan nama saya disalahgunakan," katanya.

Menantu pun tersenarai

Empat syarikat didakwa The Indian Express itu ialah Sea Bulk Shipping Company Ltd, Lady Shipping Ltd, Treasure Shipping Ltd dan Tramp Shipping Ltd.

The Indian Express adalah satu daripada 100 kumpulan media antarabangsa yang melakukan penyelidikan terhadap 11.5 juta dokumen firma Mossack Fonseca - syarikat guaman berpangkalan di Panama dan mempunyai cawangan di lebih 35 negara di seluruh dunia.

Mossack Fonseca dikenali sebagai firma guaman yang mempunyai kepakaran menubuhkan syarikat luar pesisir pantai - status yang membolehkan sesebuah syarikat dikecualikan daripada cukai.

Selain Bachchan, ada beberapa tokoh terkenal India dikaitkan. Salah seorang ialah pelakon yang juga menantu Bachchan sendiri, Aishwarya Rai.

Pelakon jelita itu didakwa menjadi pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat ditubuhkan di Virgin Islands dan dibubarkan pada 2008.