Sembilan peragawati telah menggayakan pelbagai potongan busana Muslimah dengan menjadikan koc kereta api Tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang beroperasi sebagai pentas peragaan.
Pertunjukan “Runway Busana Muslimah on the Move” anjuran HCM Biz Services dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad itu dilapor bertujuan merakyatkan peragaan fesyen.
"Platform LRT bergerak ini merupakan landasan terbaik untuk merakyatkan industri fesyen yang selama ini hanya dianjurkan di tempat terkemuka untuk jemputan khas sahaja dan lazimnya hanya mampu disertai oleh jenama-jenama besar atau yang mempunyai modal yang besar," pemilik HCM Biz Services Hazlina Churai Mee dipetik sebagai berkata.
Pertunjukan bermula apabila tren bergerak dari Kampung Baru menuju ke Gombak kemudian berpatah balik ke pusat bandar raya dan seterusnya berakhir dengan pementasan di stesen Masjid Jamek.
Antara jenama terlibat dalam pertunjukan fesyen bergerak itu adalah ElleLena, Fiore, Raqtive, TiaLacrissa, Tudung Botol Bonda dan Aireen_my, lapor Bernama.
