Sejumlah 'anak didik' Donald Trump dalam siri realiti televisyen The Apprentice bersatu mengajak orang ramai menolak tokoh perniagaan itu daripada menjadi presiden AS.

Menurut mereka, Trump - yang kini bersaing untuk menjadi calon Republikan - tidak layak menjadi presiden.

Antara peserta The Apprentice yang berpendapat begitu ialah pemenang musim keempat, Randal Pinkett dan naib juara musim pertama, Kwame Jackson.

Mereka dijangka membuat sidang media di New York hari ini untuk menolak Trump.

Dalam kenyataan bersamanya semalam, peserta The Apprentice mengutuk retorik Trump dan menuduhnya memecah-belahkan rakyat AS.

Trump juga, kata mereka, berkempen menggunakan sentimen rasisme, ganas, kebencian, seksis dan menghasut menolak orang asing.

Langkah mundur, malas

Marshawn Evans Daniels yang membacakan kenyataan itu berkata, Trump mengapi-apikan - secara sistematik - perasaan warga AS supaya sentiasa prejudis, takut dan membenci.

"Ia tindakan tidak patriotik, mementingkan diri sendiri, mundur dan pemalas," katanya.

The Apprentice adalah siri realiti televisyen mempertemukan antara 16 hingga 18 peserta yang diuji kemahiran masing-masing dalam aspek perniagaan.

Trump menjadi hos program itu selama 14 musim, dari Januari 2004 hingga 2015.

Pemenang ditawarkan kontrak bernilai AS$250,000 (RM973,375) setahun untuk mengendalikan syarikat Trump.

Kini Trump, 69, sedang bersaing dengan Ted Cruz, 45, dan John Kasich, 63, untuk menjadi calon Republikan dalam pilihan raya presiden yang dijadual hujung tahun ini.

Di pihak Demokrat dua calon sedang bersaing iaitu bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton, 68, dan Bernie Sanders, 74.

Pinkett berkata sebagai alumni The Apprentice mereka berpengalaman bekerjasama dengan Trump atas pelbagai kapasiti, termasuk sebagai pekerja dalam syarikat ahli perniagaan berkenaan.

"Berdasarkan pengalaman itu serta pendekatan kempen Trump, kami yakin dia tidak laya menjadi presiden AS," katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan berkenaan Trump mengecam mereka sebagai "bekas anak didik yang gagal menggapai cita-cita tinggi" masing-masing.

"Alangkah cepatnya mereka lupa. Tiada sesiapa yang mengenai mereka tanpa saya.

"Mereka semata-mata mahukan publisiti seperti semasa mereka bersama saya. Sikap yang ditunjukkan itu amat khianat dan tidak layak dihormati," katanya.

Untuk makluman, sebahagian daripada alumni The Apprentice turut memberi sokongan kepada Trump, termasuk Omarosa Manigault-Stallworth yang sering muncul di televisyen mempertahankan tokoh berkenaan.