Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akan tiba masanya filem Hindi hadir tanpa lagu
Diterbitkan:  Apr 16, 2016 10:00 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Apalah makna filem Hindi jika ia tampil tanpa tarian dan lagu berlatarbelakangkan sekian banyak lokasi, kan?

Hakikat itu memang benar tetapi tidak semestinya tepat sepanjang masa.

Salah seorang hero filem Hindi moden Shah Rukh Khan berpendapat keadaan itu mungkin tidak kekal sebaliknya perlu diubah sesuai dengan peredaran masa.

Untuk kekal berjaya, kata Shah Rukh industri perfileman India mesti melakukan penyesuaian dan tidak lagi bergantung kepada adegan tarian dan lagu.

Dia bercakap kepada media di London sempena majlis mempromosi filem terbarunya, Fan .

Menurut Shah Rukh yang sebelum ini kembali menjadi sebutan di beberapa negara apabila bergandingan dengan Kajol dalam filem Dilwale , ramai pihak menyedari filem Hindi tidak lagi sama seperti dulu.

Sejak sekian lama, selain faktor pelakon - lelaki dan wanita - kejayaan filem Hindi turut dipengaruhi lagu seperti dibuktikan banyak produksi, termasuk Kuch Kuch Hota Hai, Chennai Express, Devdas dan Mohabbatein .

Fan sendiri, katanya, walaupun mempunyai lagu tema, ia tidak disertakan dalam filem berkenaan sebaliknya cuma diperdengarkan pada klip promosi.

Dua watak serentak

Bagaimanapun Shah Rukh, 50, mengakui perubahan total seperti dijangkakannya tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini.

"Buat masa ini saya tidak melihat lagu dan tarian dalam filem Hindi akan hilang langsung tetapi keperluan setiap filem berbeza dan ia memerlukan masa yang lama untuk berubah sepenuhnya," kata Shah Rukh.

Sementara itu dalam Fan , Shah Rukh membawa dua watak.

Filem yang mula ditayangkan di seluruh dunia mulai hari ini berkisar mengenai usaha Gaurav Chandna berkunjung ke Mumbai untuk bertemu dan mengucapkan selamat hari lahir kepada pelakon pujaan hatinya, Aryan Khanna.

Watak Gaurav dan Aryan dibawa oleh Shah Rukh.

Untuk filem Fan , wajah Shah Rukh mendapat sentuhan jurusolek yang pernah bertugas mengubah muka Brad Pit dalam The Curious Case of Benjamin Button.

Lihat Komen
ADS