Pelakon veteran yang kini menjadi Timbalan Gabenor Jawa Barat Deddy Mizwar mencadangkan supaya Jakarta dibiarkan tenggelam dan menjadikan kawasan itu seperni Venice.

Katanya ketika dia membuat kenyataan itu beberapa bulan lalu ia mungkin sekadar gurauan namun kini idea berkenaan perlu difikirkan dengan serius.

"Jadikan saja kawasan itu pusat pelancongan air seperti Venice," katanya merujuk kepada sebahagian Jakarta yang mengalami penenggelaman pada kadar kira-kira 45 sentimeter setahun.

Keadaan itu juga mendorong kerajaan menjalankan projek tebus guna di pantai utara Jakarta dan mendapat bantahan sesetengah pihak.

Deddy, 61, yang masih aktif berlakon berkata projek tebus guna itu tetap dijalankan walaupun beberapa menteri menolaknya.

Menurut pelakon Sayap Kecil Garuda itu penduduk di kawasan yang bakal ditenggelami secara semula jadi itu tidak perlu diusir oleh pihak berkuasa.

"Mereka akan berpindah sendiri kerana alam semula jadi mendorong mereka berpindah," katanya.

Mengenai pendirikan pemerintah Jawa Barat terhadap projek tebus guna, Deddy berkata, mereka masih menunggu penjelasan daripada kerajaan.

"Prosesnya pun masih diperdebatkan kerana ada pihak mendakwa ia perancangan pusat tetapi ada yang memberitahu ia diingini pemerintah Jakarta. Uruskan hal itu dulu.

"Pembangunan kota baru di atas tapak tebus guna itu pula menggunakan material apa? Jangan-jangan ini hanya memindahkan bencana,” katanya.