3 Idiots kembali, Aamir ambil kampung angkat
Berita baik untuk peminat Aamir Khan dan filem 3 Idiots.
Pelakon Sharman Joshi hari ini mengesahkan sekuel filem pecah panggung pada 2009 itu akan muncul tidak lama lagi.
Seperti filem terdahulu watak utama akan dibawa Aamir Khan, R Madhavan dan Sharman sendiri.
"Ya, Rajkumar Hirani sudah memaklumkan kepada saya dia sedang mengusahakan sekuel 3 Idiots . Saya tak sabar untuk bekerjasama semula," katanya.
Rajkumar adalah pengarah
3 Idiots
yang menghasilkan filem berkenaan tiga sahabat yang menuntut di sebuah kolej kejuruteraan elit dan berdepan pelbagai cabaran.
Sebelum ini Rajkumar menyatakan dia bercadang mengarahkan filem kedua PK - satu lagi produksi memaparkan lakonan hebat Aamir.
Beri kesedaran kepada masyarakat
Sementara itu dua kampung terletak di daerah Marathwada, Maharashtra menjadi kampung angkat kepada pelakon Aamir.
Petempatan Tal dan Koregaonitu kini berdepan masalah kemarau teruk dan bakal mendapat bantuan daripada pelakon terkenal berkenaan.
Keputusan itu dibuat Aamir selepas dia melawat daerah terbabit sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran mengenai amalan berjimat cermat dalam penggunaan air.
Aamir, 51, menyalurkan bantuan itu melalui pertubuhan amalnya, Yayasan Paani, yang sering melakukan aktiviti di kawasan luar bandar.
Dalam kempennya di Beed, Aurangabad Aamir memuji kerajaan negeri Maharashtra yang melakukan tindakan mengumpul air hujan sebagai langkah mengatasi kekurangan air di situ.
"Menadah dan menggunakan setiap titis hujan dengan baik adalah pilihan yang ada untuk berdepan masalah ini," katanya.
Ia bukan kali pertama Aamir menjadikan sesebuah petempatan sebagai kampung angkat untuk membantu penduduk setempat.
Pada 2001 beberapa kampung di Gujerat turut menerima bantuan daripada Aamir selepas dilanda bencana gempa bumi.
Sebelum ini beberapa aktor lain turut mengambil langkah sama, termasuk Akshay Kumar dan Nana Patekar.
Aamir turut mengadakan siri realiti untuk membincangkan beberapa isu utama di India, seperti jenayah rogol, rasuah dan pembunuhan ahli keluarga demi menutup 'malu'.

