Apakah yang berlaku apabila aktres Jessica Chastain, hos televisyen Jimmy Kimmel dan durian dipertemukan?

Kecoh!

Itu yang berlaku apabila Kimmel mempelawa Jessica sebagai salah seorang tetamunya dalam rancangan Jimmy Kimmel Live! beberapa hari lalu.

Bertemu Kimmel, Jessica hadir bersama sebuah beg di sisinya. Di dalam beg itu adalah ole-ole dibawa pelakon Martian, World War Z dan Interstellar itu dari "Asia Tenggara" - sebiji durian.

Bersama dua pasang sarung tangan dan sebilah pisau, Jessica meminta Kimmel merasai buah berkenaan yang memang asing di Barat.

"Ini namanya durian, raja buah di Asia. Adakah anda dapat terhidu baunya?" tanya Jessica kepada penonton di studia berkenaan.

Mengakui amat menggemari durian, Jessica menggambarkan rasa buah itu sebagai "gabungan bawang, bawang putih, avokado dan nanas".

Kata Jessica dia membeli durian ketika melawat Singapura dan Thailand.

Antara enak, ngeri

Dia kemudian meminta Kimmel membelah durian berkenaan dengan pisau dibawanya. Dan itulah yang dilakukan Kimmel meskipun cara dia membelahnya amat lucu bagi sesiapa yang mengenali durian.

"Adakah anda mahu mempermainkan saya?" tanya hos berusia 48 tahun itu.

"Demi Tuhan, tidak," jawab Jessica sambil ketawa besar.

Kimmel menggunakan kekuatannya untuk membelah durian itu dengan mudah.

Sebaik saja buah berkenaan terbelah dua dan baunya semerbak memenuhi studio berkenaan, Kimmel terkejut dan berkata: "Ya tuhan, baunya!"

"Baunya seperti tong sampah, kan? Saya membelinya di Singapura dan Thailand," kata Jessica.

Jessica, 39, juga mengaku melanggar larangan hotel yang melarang durian dibawa masuk ke bangunan berkenaan.

Dengan 'menyeludupkan' buah itu Jessica membawa durian ke bilik dan membukanya.

"Ketika saya kembali ke hotel, seluruh kawasan itu berbau durian!" katanya.

Sejurus kemudian Kimmel bertanya cara memakan durian kepada Jessica.

Selepas diberitahu Kimmel mencubanya, dan reaksi wajah personaliti berkenaan memang lucu.

"Hmm.... rasanya antara mengerikan dan enak," katanya.