Anak didik Pharrell ajar AS makna batasan, pilihan
Melangkah lebih jauh ke negeri asing tidak bermakna penyanyi Yuna melupakan asal-usul tempat kelahirannya.
Meskipun Yuna, 29, boleh dikatakan berada pada kedudukan selesa di Los Angeles ketika ini, penampilan penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu tidak pernah berubah - dia masih tampil berhijab dan sering memakai baju yang menutupi hingga ke leher (memakai pakaian turtle neck ).
Muzik Yuna pula pantas mendapat tempat dalam kalangan peminat antarabangsa, termasuk pengurus Ben Willis - individu yang bertanggungjawab memberinya galakan untuknya mencipta nama di Los Angeles.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, Yuna sering cuba ‘ditundukkan’ oleh segelintir pihak dengan kritikan mengenai imej dibawa.
Sesetengah orang, katanya, berpendapat penampilannya kini perlu diubah dan harus membiarkan rambutnya 'bebas'.
"Ada orang berkata, kamu perlu melepaskan rambut (tidak perlu bertudung), kamu tidak sepatutnya ditindas, kamu bukan lagi di Malaysia. Kamu perlu menunjukkan bentuk tubuh kamu dan berbangga dengannya.
"Tetapi saya bangga (dengan pilihannya sekarang) - ia adalah pilihan saya untuk menutup tubuh saya. Saya tidak ditindas. Saya bebas," katanya kepada portal billboard.com.
Sertai kempen global Olimpik
Bintang Yuna sebagai artis semakin cerah selepas dia ‘ditemui’ dan menandatangani perjanjian dengan syarikat majalah indie terkenal Fader Label pada 2011.
Syarikat berkenaan kemudian memperkenalkan Yuna dengan mentornya Pharrell Williams.
Terbaru, album ketiga Yuna,
Chapters
bakal dilancarkan pada 20 Mei ini, turut menampilkan artis terkenal seperti penyanyi R&B Usher, Jhene Aiko dan DJ Premier.
Dalam lagu Crush Yuna berduet dengan Usher dan buat kali pertama muzik itu berjaya membolosi carta Billboard.
Yuna juga dipilih sebagai penyumbang vokal untuk klip lagu The Fire, sebuah kempen promosi global untuk Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro Brazil.
Selain Yuna, lagu berkenaan turut dinyanyikan Lenny Kravitz, Nneka, Diogo Nogueira and Corinne Bailey Rae.
Kritik kempen Trump
Berada di Los Angeles Yuna mengakui dia selesa dengan keadaan di situ - serta AS secara keseluruhan - walaupun ada pihak termasuk calon presiden dari Republikan, Donald Trump, menjalankan kempen antiimigran dan antimuslim secara kontroversi.
"Dia (Trump) mempromosi kebencian, keganasan.
"Ia amat janggal apabila ini (sentimen antiimigran dan antimuslim) diterima ramai di negara maju dan moden ini," katanya.
Yuna berkata, walaupun menggemari muzik Barat ia tidak bermakna dia perlu mengikut artis berkenaan, seperti Rihanna yang diminatinya.
“Lebih mudah dengan menjadi diri sendiri dan tidak cuba menjadi sepertinya.
“Saya tiada masalah dengan Miley Cyrus (yang sering muncul dengan imej amat mencolok mata) apabila dia menjadi dirinya sendiri ketika membuat persembahan.
“Tetapi penyanyi seperti Adele dan Andra Day tidak mendapat hak sepatutnya. Kami ada bakat; kami tidak bergantung kepada benda-benda lain. Kami hanya mahu bermain muzik," katanya.

