Nampaknya pemergian Prince yang didakwa tidak meninggalkan sebarang wasiat mungkin membuka ruang kepada enam adik-beradiknya mewarisi harta peninggalan penyanyi terkenal era 1980-an itu.

Ini bermakna, harta peninggalan Prince yang dianggarkan bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) bakal dibahagi sama rata termasuk kepada adik-beradik tirinya.

Menurut laporan daripada pelbagai sumber termasuk kakitangan yang bekerja dengan Prince sejak 2014, penyanyi Purple Rain itu memang tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Prince Rogers Nelson - nama sebenar Prince - disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.07 pagi (waktu tempatan) atau kurang dari 30 minit selepas pasukan kecemasan dimaklumkan mengenai keadaannya.

Mayat Prince ditemui kaku dalam lif di bangunan menjadi rumah dan studionya di Chanhassen, Minnesota AS pada 21 April lalu.

Bagaimanapun, Prince, 57, mungkin semat mengubah pendirian itu akhir-akhir ini dan merangka wasiat sendiri.

Namun ia masih belum dapat dibuktikan setakat ini.

Bahagi sama rata

Mengikut undang-undang Minnesota, sekiranya dibuktikan Prince memang meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat, anggota keluarga terdekat akan mendapat pembahagian harta berkenaan.

Prince mempunyai lapan adik-beradik termasuk seorang adik kandung, Tyka.

Tyka pula adalah seorang bekas penagih dadah dan pernah melacurkan diri untuk menyara dua anak lelakinya yang masih kecil.

Sebelum ini nama Tyka disebut-sebut sebagai pewaris, namun perkara itu mungkin di sebaliknya.

Di bawah undang-undang Minnesota, peruntukan hak sama rata ke atas harta akan diberikan sama ada kepada adik kandung atau tiri.

Dua beradik Prince dilaporkan meninggal dunia, dan ini bermakna harta berkenaan perlu dibahagi sama rata kepada lima orang yang masih ada.

Sementara itu USA Today melaporkan Tyka mengemukakan petisyen mendakwa Prince tidak membuat sebarang wasiat sebelum mati.

Petisyen itu dibuat bagi melantik seorang atau mana-mana pihak menjadi pentadbir bagi menguruskan harta pusaka Prince.

"Abang saya meninggal dunia tanpa pasangan, anak atau ibu bapa," katanya.

Selain dirinya sendiri Tyka menamakan adik-beradik tirinya sebagai "pihak yang berkepentingan" dalam tuntutan itu.