Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Prince mungkin korban terbaru ubat berlebihan
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Penyiasat sedang melihat kemungkinan kematian Prince disebabkan ubat-ubatan berlebihan - satu lagi kes seumpamanya membabitkan selebriti di AS.

Sumber berkata pihak berkuasa turut menyiasat untuk mengetahui sama ada doktor ada memberikan ubat tertentu kepada penyanyi itu beberapa minggu sebelum dia menghembus nafas terakhir 21 April lalu.

Bercakap kepada AP sumber itu memberitahu satu lagi aspek yang disiasat ialah sama ada seorang doktor ada bersama Prince, 58, ketika pesawat udaranya membuat pendaratan kecemasan di Illinois kurang dari seminggu sebelum penyanyi Purple Rain itu mati.

"Siasatan sedang menentukan apa jenis ubat yang ada di rumah Prince dan dalam kapal terbangnya," kata sumber yang enggan didedahkan identitinya itu.

Dia juga mengaku sebahagian daripada butiran insiden itu dilaporkan beberapa portal berita hiburan termasuk TMZ.

Prince ditemui tidak bergerak dalam sebuah lif di studio merangkap rumahnya di Chanhassen, Minnesota minggu lalu.

Sakit pinggang, lutut

Pada 15 April kapal terbang disewa Prince membuat pendaratan mengejut di Moline, barat Illinois selepas dia dilaporkan pengsan.

Sumber berkata Prince diberi suntikan ubat yang biasanya digunakan terhadap seseorang yang mengambil bahan penahan sakit berlebihan.

Ia, kata sumber itu diberikan ketika kapal terbang itu berada di landasan.

"Salah satu kemungkinan yang dilihat ialah Prince mengambil ubat tahan sakit yang berkeupayaan tinggi dikenali sebagai Percocet," katanya.

Semalam media melaporkan bekas bintang gusti wanita WWE juga disyaki mengambil ubat berlebihan mungkin yang menjadi punca dia mati.

Chyna ditemui kaku di atas katil rumahnya di Redondo Beach Los Angeles. Dia dipercayai sudah mati beberapa hari sebelum ditemui pengurusnya yang menetap bersebelahan rumah berkenaan.

Rakan lama Prince Sheila E pula memberitahu AP penyanyi yang turut popular dengan lagu When Doves Cry mengalami masalah fizikal.

"Dia mengalami kesakitan pada pinggang dan lutut kesan daripada pergerakannya ketika mengadakan persembahan pentas selama bertahun-tahun," katanya.

Lihat Komen
ADS