Noryn tangguh keinginan demi Raja Bariq
Penyanyi jazz Noryn Aziz mengakui perjalanan kariernya sebagai artis mulai terbatas sejak melahirkan anak sulungnya.
Menurut Noryn atau nama asalnya Norazmahwati Abdul Aziz, 39, pembabitannya dalam dunia hiburan kini agak terhad.
Katanya, dia membuat persembahan sekadar memenuhi undangan untuk meraikan sesuatu majlis dan tidak lebih daripada itu.
“Tidak banyak yang boleh dilakukan sekarang kerana anak masih lagi kecil, amat lasak dan memerlukan lebih perhatian.
“Dia umpama shadow of your smile, sifatnya itu tidak boleh berenggang. Ke mana saja saya pergi, dia akan membuntuti saya - ke dapur, tandas, ruang tamu atau ke mana-mana saja,” katanya.
Noryn ditemui pada program meraikan hari ibu Sepetang Bersama Ratu Hatiku di Impiana KLCC Hotel & Spa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ia dianjurkan oleh Maya Axis Creative Sdn Bhd dan Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MaTIC).
Bersabar, berdoa
Selain Noryn penonton turut dihiburkan penyanyi Heliza Helmi, Ammar Hamdan dan Aishah.
Hasil perkahwinan Noryn dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dia sempat diuji takdir apabila begitu menginginkan seorang cahaya mata tetapi tidak tercapai.
Selama empat tahun selepas dinikahkan pada 2010, tanpa jemu Noryn berikhiar untuk mendapatkan anugerah paling bermakna sebagai pelengkap rumahtangga.
Dan akhirnya pada 25 Ogos 2014, Noryn selamat melahirkan bayi seberat 3.13 kilogram, diberi nama Raja Bariq Umar Shah, yang kini berusia 20 bulan.
Terkenang saat manis menjadi ibu, Noryn turut berkongsi pengalamannya itu bersama wartawan.
Untuk memiliki kehidupan lebih bermakna, katanya, seseorang mesti menghargai jasa ibu masing-masing dan tidak menyakiti hari mereka.
Noryn sendiri mengalami bagaimana seorang ibu perlu bersabar, berdoa dan menanti demi anak, seperti ketika dia terpaksa menunggu sehingga empat tahun sebelum Raja Bariq hadir dalam hidupnya.
"Saya benar-benar hargai pengalaman yang dilalui,” katanya.
Noryn pernah menghasilkan album Fantasi O Realiti pada 1997, diikuti Alam Maya (2006) dan I'm Alright (2010).
Mengakui rindu untuk merakam lagu terbaru, Noryn yakin impian itu dapat digapai selepas dia boleh berenggang sedikit dengan anaknya.
“Kini ada ujian kerana dapat anak yang tidak mahu berenggang.
"Ia cabaran yang perlu saya tempuhi walaupun ada keinginan untuk kembali aktif dalam bidang seni suara," katanya.
Tidak menggunakan khidmat pembantu rumah Noryn membayangkan langkahnya dalam bidang nyanyian kembali terbuka selepas Raja Bariq memulakan sesi prasekolah nanti.
Di rumah, Noryn dibantu ibunya sendiri dan ia turut menyebabkan dia sangat menghargai wanita bergelar ibu.
“Ibu begitu banyak menghulurkan bantuan dan saya bersyukur dengan tunjuk ajarnya selama ini,” katanya.

