Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bermula dengan harapan dan rasa teruja yang tinggi, akhirnya Search berasa mereka dirugikan oleh pertikaian yang tidak sepatutnya.

Semuanya gara-gara salah faham mengenai aspek kewangan menjelang konsert 35 Tahun Search yang dijadual pada 30 Ogos ini.

Justeru Search mengarahkan peguam mereka mempertimbangkan apa saja pilihan undang-undang yang ada bagi membersihkan nama baik serta menebus 'kerugian' dialami.

Antara kerugian itu ialah hubungan yang rosak antara ahli kumpulan, serta kemudaratan daripada konflik sedang dialami.

Walaupun tidak menyatakan secara khusus peguam Search Yusmadi Yusoff berkata dia sudah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk meneliti perkara berkenaan.

"Buat masa ini Search kelihatan seperti pihak paling rugi dan ia berlaku pada waktu mereka sepatutnya menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada peminat sempena 35 tahun penubuhan kumpulan berkenaan.

"Saya sedang meneliti aspek perundangan yang boleh diambil terhadap penaja berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Asalnya di Stadium Merdeka

Sebelum itu dalam sidang media di Sri Hartamas, Kuala Lumpur petang ini kumpulan legenda rock itu menyatakan kekecewaan mereka apabila rancangan mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang berdepan dengan masalah.

Ekoran pertikaian yang berlaku, mereka kemudian menghantar notis untuk membatalkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kumpulan berkenaan dengan syarikat Afjets Sdn Bhd.

Notis itu dihantar semalam.

Sebelum ini Search dan Afjets mengumumkan rancangan mereka membuat konsert besar-besaran bagi meraikan 35 tahun pembabitan mereka dalam hiburan negara.

Pada asalnya konsert berkenaan dirancang diadakan di Stadium Merdeka namun ditangguhkan.

Ia kemudian diumum akan diadakan di Sepang.

Konflik terjadi apabila pemain dram Search, Yazid, membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan bayaran daripada penaja.

Search kemudian menafikan dakwaan itu dan memberi tempoh 48 jam kepada Yazid untuk meminta maaf secara terbuka atas tuduhan berkenaan.

Yusmadi (gambar) berkata menjelang konsert pada Ogos nanti Search sudah memainkan peranan seperti sepatutnya, termasuk menjalankan promosi di media.

"Isunya ialah tindakan pihak penaja memberi kenyataan mengelirukan sehingga menjejas nama baik Search.

"Mereka juga gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penaja seperti terkandung dalam MoU," katanya.

Sementara itu vokalis Search, Amy, berkata pihaknya berasa tawar hati dengan sikap tidak profesional ditunjuk Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Amrul Nizar Anuar dalam pertikaian dengan Yazid.

"Kami sebulat suara mengambil keputusan menarik diri daripada kerjasama itu dengan perasaan kecewa.

"Kolaborasi ini dipandang lebih memudaratkan nama baik Search dan (dibuat selepas) mengambil kira implikasi buruk yang timbul," katanya.

Lihat Komen
ADS