Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kate dan buku macam kaki botol dengan arak
Diterbitkan:  May 26, 2016 12:38 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Aktres Kate Beckinsale mengaku dia akan menjadi panik jika tiada apa-apa untuk dibaca.

Kata Kate disebabkan sifatnya itu dia akan memastikan sentiasa ada bahan bacaan di tangannya.

Di rumah pula pelakon Underworld itu menyusun perabot dan perhiasan dengan teliti supaya di sana sini ada bahan bacaan boleh diselitkan.

"Saya dibesarkan dalam keluarga dikelilingi buku. Tak boleh nak buat apa.

"Bangun pagi saya menggosok gigi, kemudian membuka buku.

"Buku ada di mana-mana di rumah saya - di bawah katil, atas katil anak, almari, semua tempat ada buku," katanya.

Kate, 42, lahir Chiswick, London muncul kali pertama sebagai pelakon filem pada 1993 melalui Much Ado About Nothing.

Dia kemudian terbabit dalam pembikinan drama British seperti Prince of Jutland (1994), Cold Comfort Farm (1995) dan Emma (1996).

Di akhir 1990-an Kate mencuba nasib di AS dan diambil berlakon dalam beberapa filem kurang menonjol. Antaranya The Last Days of Disco (1998) dan Brokedown Palace (1999).

Hanya selepas membintangi filem Pearl Harbour pada 2001 nama Kate melonjak ketara sebelum diikuti dengan Serendipity, The Aviator (2004) dan Click (2006).

Tiba-tiba hamil

Kate adalah lepasan Universiti Oxford dan masih menuntut ketika dia berlakon dalam filem Much Ado About Nothing.

Katanya ketika di Oxford dia mengambil dua ijazah serentak dalam jurusan bahasa moden. Justeru dia perlu banyak membaca.

"Misalnya, suatu hari pensyarah memberikan tugasan tentang Dostoyevsky. Alamak! Saya terpaksa membaca semua tulisannya dalam bahasa Russia!" katanya.

Fyodor Mikhailovich Dostoyevsky ialah penulis, wartawan dan ahli falsafah terkenal Russia dan banyak dikaji penuntut universiti.

Menurut Kate, kebiasaan berdamping dengan buku menjadikan dia seperti 'ketagih' untuk membaca pada setiap masa terluang.

Bagaimanapun perhatiannya kepada buku terganggu apabila "hamil tiba-tiba".

"Jika ada ada anak, anda tidak ada masa mencukupi untuk membaca atau kebanyakan aktiviti lain," katanya.

Kini kata Kate apabila ke mana-mana, dia memastikan ada sekurang-kurangnya enam naskhah buku bagi mengelakkan rasa panik menyerang tiba-tiba.

Dia juga seperti 'hilang akal' apabila berada dalam kedai buku.

"Ada sesetengah kedai buku saya pergi, saya membeli banyak bahan bacaan tanpa sedar hingga saya terfikir saya mungkin perlu 'mengharamkan' tempat itu pada masa depan.

"Saya membeli buku macam kaki botol meminum arak," katanya.

Lihat Komen
ADS