Badan tunggal uruskan royalti seni dibentuk
Ekoran konflik timbul dalam isu royalti, kerajaan mewujudkan satu badan baru bagi mengelolakan kutipan wang berkenaan selepas ia berlarutan selama 15 tahun.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, persetujuan itu diambil selepas wakil artis yang hadir pada sesi dialog tertutup hari ini sebulat suara bersetuju mengenainya.
"Semua kutipan royalti selepas ini akan dijalankan oleh sebuah syarikat saja.
"Pembayaran dan aset akan dibayar mengikut tiga pecahan kumpulan iaitu komposer, syarikat rakaman dan artis yang dikendalikan oleh seorang pegawai kementerian," katanya.
Hamzah ditemui di sidang media SolidaritiRMArtis di Kuala Lumpur petang tadi. Turut hadir Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez dan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Sri Jamil Salleh.
Menurut Hamzah, empat badan yang diberi lesen mengendalikan royalti sebelum ini dibubarkan serta merta.
Cari jalan penyelesaian
Katanya empat badan itu adalah Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers and Artists Rights (Prism).
Kata Hamzah tarikh syarikat baru itu akan ditubuhkan bakal diumumkan secepat mungkin.
Sementara itu dalam sesi dialog tertutup dikendalikan Karyawan dan menteri itu, perkara utama dibincangkan adalah bagi mendapatkan jalan penyelesaian mengenai pengurusan royalti seniman.
Terdapat tiga cadangan penyelesaian dikemukakan Karyawan iaitu memilih RPM atau Prism untuk mewakili artis, membubarkan kedua-dua badan kemudian menubuhkan yang baru atau merundingkan hal berkenaan dengan kedua-dua badan asal - MACP dan PPM - bagi mencari formula mengagihkan perkongsian royalti.
Kata Hamzah, tempoh sewajarnya diberi kepada setiap badan terlibat bagi mencari formula penyelesaian.
"Formula itu akan diguna pakai bagi mengagih peratusan atau pecahan royalti yang akan diumumkan secepat mungkin.
"Syarikat yang diberi lesen nanti akan bertanggungjawab menyelesaikan jumlah kutipan dalam tempoh yang diagihkan.
"Wang itu tidak boleh dibawa lari ke mana-mana," katanya.
Mengenai reaksi badan terhadap pembubaran badan pengurusan royalti itu, Hamzah berkata, ia bergantung kepada reaksi artis.
"Keputusan mereka lebih penting dalam hal ini kerana tanpa mereka maka tiadalah badan pengutipan royalti," katanya.
Sementara itu, menurut Fernandez, keputusan yang diambil menjurus ke arah satu penyelesaian selepas 15 tahun isu itu gagal dimuktamadkan.
"Perlu diadakan perbincangan lanjut dan terperinci bagi mencari keputusan yang terbaik bagi semua pihak," katanya.

