Jodie cari kepuasan dari belakang kamera pula
Selepas hampir 50 tahun menghambakan diri sebagai anak seni pelakon Jodie Foster berkata kini tiba masa untuknya menumpukan perhatian penuh kepada bidang pengarahan filem.
Bagaimanapun, Jodie, 53, berkata dia tidak berniat untuk bersara sepenuhnya daripada bidang lakonan.
"Ia memang 'gila'. Saya mula mengarah ketika berusia 27 tahun tetapi setakat ini hanya empat filem yang berjaya dihasilkan," katanya kepada akhbar The Sydney Morning Herald di Sydney, Australia semalam.
Pemenang dua Oscar itu berada di negara berkenaan untuk mempromosikan filem terbarunya, Money Monster, yang dibintangi George Clooney dan Julia Roberts.
Money Monster adalah filem arahan terbaru Jodie selepas Little Man Tate pada 1991, Home for the Holidays (1995) dan The Beaver (2011).
Bagaimanapun dia sudah mengarahkan beberapa episod daripada siri televisyen House of Cards (2014) dan Orange Is the New Black (2013 - 2014).
Dia memulakan kerjaya sebagai pelakon dengan muncul dalam iklan komersial televisyen pada 1965. Jodie baru berusia tiga tahun ketika itu.
Kata Julia membesarkan dua anak serta beberapa cabaran lain menghalang dia menjadi pengarah filem yang prolifik.
"Memang hebat menjadi pelakon selama 50 tahun tetapi kini masa untuk saya lebih fokus dalam bidang pengarahan.
"Ia adalah langkah baru saya dalam hidup. Kadang-kadang apabila anda mengalu-alukan pembaharuan, anda perlu mengucapkan selamat tinggal kepada yang lama," katanya.
Mengenai alasan dia mahu memberi perhatian lebih sebagai sutradara, Jodie berkata, bidang itu lebih memberi kepuasan kerana dapat menzahirkan apa yang dirasanya.
"Namun saya tak dapat membayangkan saya berhenti berlakon sepenuhnya. Ia sekadar perubahan seorang seniman," katanya.

