Joe mahu sebutir bintang dalam War Of Bands
Menyedari kepayahan menimba pengalaman berharga selama 30 tahun dan bertapak sebagai gitaris, Joe Wings tampil sebagai mentor untuk mencungkil bakat baru menerusi pertandingan War of Bands.
Kata Joe, dia berazam untuk mempersiapkan golongan yang meminati rock untuk dijadikan pelapis kepada muzik itu yang dilihat semakin kurang mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda.
Dan untuk itu, Joe menyasarkan tempoh selama tiga bulan bagi merealisasikan program itu yang bercorak ala Battle of the Bands - pertandingan yang pernah popular satu ketika dulu.
“Sebagai pemuzik, saya tahu betapa sukarnya untuk menimba pengalaman itu selama 30 tahun lamanya, justeru pertandingan ini diwujudkan bagi membuka peluang kepada band yang mahu mengembangkan bakat dan menjadi pelapis genre itu selepas ketiadaan kami (kumpulan rock).
“Bukan saja bertujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah wujud, tetapi program sebegini membolehkan peserta mendalami ilmu berkaitan bidang muzik dalam tempoh tiga bulan dengan pengalaman yang saya miliki,” katanya yang ditemui di sidang media pertandingan War of Bands di restoran Teh Tarik di Setapak Central baru-baru ini.
Istimewanya War of Bands, ia bukanlah setakat pertandingan yang biasa-biasa atau asalkan boleh menang, tetapi peserta berpeluang merasai nikmat membuat persembahan seakan di konsert sebenar yang dilengkapi sistem pencahayaan dan bunyi canggih.
Peluang menikmati pengalaman itu kata Joe, ‘ditawarkan’ kepada peserta bagi menggalakkan mereka berdaya saing selain menyuntik motivasi untuk bekerja keras dan melayakkan diri ke pusingan akhir.
“Kami mahu peserta membuat persembahan setaraf dengan kemudahan yang diberikan. Penyertaan pula tidak terhad, sekiranya di lokasi saringan terdapat lebih daripada 50 kumpulan, pihak kami akan melanjutkan proses itu selama dua hari, iaitu pada keesokan harinya.
“Antara jumlah peserta yang menyertai, kami benar-benar berharap sebutir bintang dapat dilahirkan, biarpun tugas pemilihan itu tidak mudah dan perlu diteliti sebaik mungkin,” katanya.
Bagi mencari 12 peserta akhir, lokasi saringan pertama bertempat di Johor Bahru akan diadakan pada 31 ogos, kedua Taman Agro Pelancongan (Maeps) Serdang, 16 September dan terakhir Ipoh,Perak 1 Oktober. Di setiap lokasi, hanya empat kumpulan saja yang akan dipilih ke peringkat akhir.
Seterusnya, peringkat akhir War of Bands anjuran JMP Productions Sdn Bhd dan Tio Studio dengan kerjasama Anggerik Event dijadual berlangsung di Maeps Serdang pada 16 Oktober. Juara bakal membawa pulang wang tunai RM5, 000 selain 12 kumpulan itu masing-masing berpeluang merakam sebuah lagu dalam album kompilasi.
Peluang penyertaan dibuka kepada mereka yang berusia dari 15 hingga 35 tahun. Daripada yuran kemasukan berjumlah RM300, sebanyak 10 peratus akan didermakan kepada tabung Yazid Search.
Di peringkat final War of Bands, juri yang dijemput mengadili adalah Hillary Ang dan Yazid termasuk Joe. Bagaimanapun, pemilihan Yazid sebagai juri masih perlu bergantung kepada tahap kesihatannya.
Dalam pada itu, Joe berkata, pertandingan yang mengkhususkan kepada pencarian kumpulan rock itu tidak menolak sekiranya ada bakat solo yang tersingkir tetapi dilihat berpotensi.
“Sekiranya ada, kami akan mengambil mereka dan menggilap bakat yang ada, ia tidak salah. Selain itu, saya juga menggalakkan penyertaan kumpulan wanita kerana selepas Candy, kita tiada lagi pelapis daripada golongan itu,” katanya.

