Queen pula 'herdik' Trump guna lagu tanpa izin
Donald Trump yang ghairah mengejar impiannya menjadi presiden AS menerima 'tamparan' sekali lagi apabila kumpulan Queen melarang dia menggunakan lagu kumpulan itu dalam kempennya.
Gitaris kumpulan itu Brian May berkata Trump menggunakan lagu Queen, We Are The Champions secara haram.
Kata May, 68, dia menerima banyak rungutan daripada peminat yang tidak senang dengan tindakan Trump memainkan lagu We Are The Champions itu.
"Ini bukan kenyataan rasmi Queen, tetapi saya boleh mengesahkan kebenaran menggunakan lagu We Are The Champions tidak pernah dipohon atau diberikan," kata May melalui laman sesawang rasminya.
Justeru, kata May, pihaknya sedang mendapatkan nasihat guaman berkenaan tindakan yang boleh diambil supaya hartawan itu tidak berterusan menggunakan lagu mereka dalam kempennya.
"Tanpa mengambil kira pendirian Trump, memang sentiasa menjadi dasar kami tidak membenarkan lagu Queen dijadikan bahan kempen," katanya.
Kecaman May itu bukanlah yang pertama diterima Trump.
Mengambil pendekatan berseteru dan kontroversi, Trump menggunakan muzik untuk menarik rakyat AS mengundinya - sebagai calon Republikan - bagi merebut kerusi presiden negara berkenaan.
Sebelum ini penyanyi British, Adele, dan Aerosmith Steven Tyler, juga memberi amaran supaya Trump tidak menggunakan lagu mereka sebagai bahan kempen.
Turut tersenarai sebagai artis yang tidak menyenangi kaedah Trump ialah Rolling Stones, Neil Young dan R E M.
Melalui We Are The Champions - lagu hit Queen pada 1977 - itu Trump mahu menggambarkan dirinya sebagai "juara" dalam persaingan merebut kuasa Rumah Putih.
Pilihan raya umum memilih presiden AS akan dijalankan pada 8 November ini.

