Memakai hijab kini menjadi keutamaan buat pelakon Falisha Crossley meskipun perubahan imej itu mungkin membataskan punca mata pencariannya sebagai anak seni.

Tidak menyesal dengan keputusan diambil, Falisha, 31 juga tidak berasa goyah berada dalam industri yang semakin banyak dipelopori pelakon wanita khususnya.

Dan daripada kadar pertambahan bilangan pelakon wanita yang sedia ada itu, turut tidak terkecuali adalah mereka yang memakai tudung.

“Sememangnya saya sudah memikirkan semasak-masaknya mengenai bab tawaran berlakon sebelum mengambil keputusan untuk berhijab.

“Kata orang, rezeki itu berada di mana-mana, lantas saya tidak perlu khuatir sekiranya terpaksa bersaing dengan ramai lagi pelakon lain yang bertudung,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran Koleksi Hijab Klasik Dayang di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur baru-baru ini.

Falisha atau Nur Falisha Crossley Faisal, pernah menceburi beberapa iklan komersial dan terbabit dalam bidang peragaan.

Dia juga pernah mencuba nasib dengan memegang watak tambahan dalam drama bersiri Derhaka Seorang Madu, Istikharah Cinta dan Selamat Pengantin Madu.

Menurut Falisha seandainya ditakdirkan rezekinya bukan lagi bersumberkan bidang lakonan, dia sudah bersiap-sedia sekurang-kurangnya dengan pelan kedua dan mungkin juga ketiga.

Kata pelakon filem Mat Moto itu, perancangan berkenaan hanya akan dilaksanakan sekiranya dia pasti pintu rezekinya dalam bidang lakonan sudah tertutup.

“Ada banyak tawaran terpaksa dilepaskan selepas mempunyai penampilan baru kerana semua watak mengkehendaki saya tidak memakai tudung. Sekiranya sudah termaktub bukan rezeki saya untuk meneruskan bidang lakonan, terlebih dahulu saya sudah sediakan diri dengan pelan lain.

“Saya mungkin akan bekerja sebagai akauntan. Ia adalah satu bidang yang sudah lima tahun saya tinggalkan sebelum memasuki industri hiburan,” katanya yang memulakan karier sejak awal 2010.

Bagaimanapun, idea berkenaan bukanlah satu-satunya yang bermain dalam kotak fikiran anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Selain meneruskan kembali kerjaya yang pernah ditinggalkan satu ketika dulu, Falisha yang gemarkan kanak-kanak turut memasang harapan untuk menubuhkan dan memberi perkhidmatan persekolahan tadika.

Mengenai hijab, Falisha akui dia mulai bertudung sepenuhnya sejak tiga hari menjelang Ramadan. Hatinya mulai terbuka untuk berhijab sejak pulang dari menunaikan ibadah umrah pada tahun lalu.

“Selepas pulang dari melaksanakan umrah di Tanah Suci Mekah, saya sentiasa berasakan ada perkara yang masih tidak lengkap dalam hidup ini.

“Pendekatan dilakukan adalah memakai tudung sejak Januari, tetapi ia bukanlah sepenuhnya dan hasrat itu asik tertangguh disebabkan jadual penggambaran yang padat.