Marsha niat pahala, bukan kuruskan badan
Menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan mualaf seperti mimpi indah buat penyanyi Marsha Milan Londoh.
Dari situ timbul banyak perkara yang menyentuh hati apabila melalui pelbagai pengalaman yang tidak pernah dihadapi.
Ketika masih bergelar pendatang baru dalam Islam dan pada masa sama sedang mendalami ilmu agama, Marsha, 30, diuji dengan kedatangan Ramadan.
Mungkin tiada perkataan lain boleh menggambarkan perasaan wanita dari Tamparuli, Sabah itu selain gembira menjalani kehidupan sebagai Muslim.
“Ramadan menjadi bulan penuh rahmat buat saya apabila pertama kali berpeluang menjalankan ibadah tarawih bersama suami dan sebagai umat Islam.
“Keterujaan itu akan sentiasa segar dalam ingatan malah saya benar-benar gembira dengan kehidupan selepas berkahwin,” katanya yang ditemui di majlis berbuka puasa amal di The Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya kelmarin.
Dalam mengerjakan ibadah puasa pula, Marsha mengakui tidak mengalami kesukaran, terutamanya dalam menahan dahaga dan lapar.
“Saya sudah terbiasa berpuasa sejak di zaman Akademi Fantasia lagi cuma kali ini perbezaannya adalah puasa itu membawa pahala buat saya.
“Jika dulu ia mungkin disertakan dengan niat untuk mengecilkan saiz badan, puasa tahun ini saya nak melakukan sebanyak pahala sebaik mungkin,” katanya yang pernah menyertai musim ketiga program realiti itu.
Teringin timang anak
Marsha yang juga pelakon diijabkabulkan dengan ahli perniagaan Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, dalam sebuah majlis tertutup di Georgetown, Pulau Pinang Disember tahun lalu.
“Alhamdulillah, akhirnya saya dipermudahkan dengan soal jodoh dan dapat menjalani kehidupan berumah tangga.
“Saya ingin menjadi seorang isteri solehah dan menguruskan kewajipan rumah dan keluarga, justeru banyak tawaran berlakon yang perlu dihadkan,” katanya yang tetap mengekalkan nama asal.
Timbul juga keinginan Marsha untuk memiliki cahaya mata biarpun baru enam bulan bergelar isteri.
“Apabila melihat kawan-kawan yang sudah memiliki anak tetapi saya belum lagi, sudah tentu timbul keinginan untuk mendapatkan kegembiraan yang sama.
“Cuma ini semua saya serahkan pada rezeki dan takdir Allah, sekiranya dia mengkehendaki saya mengandung, adalah.
“Doakan saya ada rezeki itu satu hari nanti,” katanya.

