Menolak tirani, curiga dengan puisi
Puisi menjadi 'senjata' kepada empat gadis dari Vermont menyampaikan mesej mengenai hakikat menjadi Muslim serta isu di sekitar mereka di AS.
Kira-kira lima bulan lalu Lena Ginawi, 15; Kirin Waqar, 16, dan Hawa Adam, 15, membentuk kumpulan dikenali sebagai Muslim Girls Making Change.
Kini mereka aktif menyertai kegiatan membaca puisi dan minggu ini terbabit dalam acara pertandingan deklamasi belia antarabangsa di Washington.
Kata Kirin, mereka menulis - dan membacakan - puisi berkisar mengenai isu semasa yang tidak lagi boleh didiamkan.
Gadis dari South Burlington itu berkata melalui puisi seperti American Dream, Welcome dan Chameleon kumpulan berkenaan memperkatakan harapan ibu bapa mereka ketika berhijrah ke AS.
Tidak diabaikan isu pelarian Syria serta cabaran mengekalkan identiti sebagai Muslim di negara seperti AS.
"Kami tidak akan menjadi kulit putih, atau berpura-pura berkulit putih. Kami keliru - adakah kami orang Afrika yang berada di AS atau orang AS berdarah Afrika.
"Atau mana perlu diutamakan - menjadi orang Pakistan atau Amerika.
"Air mata mengalir membasahi wajah. Ia membentuk pelangi. Merah, jingga, kuning, hijau, biru, ungu - mana satukah aku?
"Mungkin kita adalah gabungan warna-warna itu. Mungkin kita pelbagai. Gabungan pelbagai warna. Mungkin kita adalah satu," itu antara petikan puisi mereka berjudul Chameleon.
Banyak salah faham diatasi
Lena adalah anak pasangan lelaki Mesir dan wanita Yaman.
Baginya, dia mahu orang ramai tidak terus memikirkan Islam atau Muslim setiap kali terdengar perkataan keganasan.
"Bagi saya Islam adalah agama yang cintakan kedamaian. Apa saja yang dilakukan pengganas tak ada kena mengena dengan Islam," katanya.
Tidak saja mereka menyampaikan mesej itu melalui puisi di atas pentas.
Jika perlu, Lena, Kirin dan Hawa bersedia berbincang mengenai isu dibawa puisi mereka dengan sesiapa yang berminat.
Melalui cara itu, kata pegawai Young Writers Project, Sarah Gliech, lebih yakin banyak salah faham dapat diperbetulkan.
"Perbincangan adalah wadah yang cukup baik untuk membawa perubahan," katanya.
Young Writers Project adalah pertubuhan yang membantu mengumpul dana untuk membolehkan Muslim Girls Making Change datang ke Washington.
Menceritakan pengalamannya Kirin berkata, suatu ketika dulu dia menyesuaikan pakaiannya dengan gaya AS.
Kata penuntut sekolah menengah itu, dia kemudian berpendapat agama lebih penting berbanding cuba menyesuaikan pakaian dengan majoriti pelajar lain.
Sejak itu dia mula berhijab.
"Gaya saya akhirnya mencetuskan tanda tanya, diikuti perbualan yang begitu hebat dengan rakan-rakan.
"Kami berbincang mengenai persamaan, negara umat Islam, pertembungan agama dan kebudayaan, malah hampir semua aspek kehidupan," katanya.
Kongsi masalah sama
Hawa pula adalah orang yang mula-mula mencadangkan penubuhan kumpulan penyair itu.
Katanya, cabaran terbesar di AS adalah membesar sebagai orang kulit hitam di sekolah yang begitu ramai berkulit putih.
Pada ketika tertentu, katanya, dia sedar kadang-kadang ada pelajar lain seperti mempersendanya.
Hawa juga satu-satunya pelajar yang berhijab di sekolah itu.
Justeru dia memilih untuk berpindah ke Sekolah Tinggi Burlington yang lebih ramai pelajar Muslim atau berkulit hitam.
"Melalui Muslim Girls Making Change ini kami menyatakan perasaan serta membuat hubungan dengan orang ramai," kata gadis keturunan Somalia itu.
Dia baru berusia lima tahun ketika ibu bapanya berhijrah ke AS kerana mengelak daripada konflik bersenjata di negara asal mereka.
"Melalui puisi yang kami sampaikan, ramai sedar isu yang kami hadapi dan kadang-kadang kami berkongsi masalah sama," katanya.

