Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Kira-kira 16 tahun dulu - atau mungkin lebih lama - suatu dialog diadakan di Pulau Pinang. Ia menghimpunkan tiga panel: Aziz Sattar, Nasir P Ramlee dan Dr Sohaimi Abd Aziz.

Dua nama pertama adalah orang yang dekat dengan allahyarham Tan Sri P Ramlee, manakala panel ketiga seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Sesi itu diadakan di Auditorium P Ramlee, berdepan dengan rumah P Ramlee dilahirkan, di Jalan P Ramlee. Dialog itu bertajuk Kalaulah Dia Masih Ada.

Pelbagai aspek tentang P Ramlee dibincangkan dan dijangkakan, kerana dialog itu dibuat selepas P Ramlee tiada. Ada yang menjangkakan Seniman Agung itu menjadi 'waibi' kerana minat politik yang ditunjukkan beliau semasa hayatnya.

Tiba-tiba seorang penonton - ketika sesi soal jawab - menegur pengerusi dan panel kerana menyebut nama P Ramlee hanya sebagai P Ramlee.

"Sepatutnya sebutlah haruah," kata menggunakan mikrofon. Auditorium itu bergema dengan suaranya.

Memang diyakini dia bermaksud baik. Wanita itu mahu semua orang di atas pentas itu menyebut nama Seniman Agung itu dengan rujukan "arwah P Ramlee" (bukannya haruah) kerana dengan adanya ungkapan "arwah" itu roh tokoh disayangi ramai itu akan mendapat rahmat dan keampunan.

Begitu sayang dan sensitifnya sesetengah kita pada P Ramlee.

Kalaulah dia masih ada.

Mungkin salah mungkin betul

Bagus sebenarnya apabila orang ramai tiba-tiba disibukkan dengan komen David Teo tentang P Ramlee. Ketika orang leka dengan pelbagai isu lain - seperti 1MDB, atau laporan ketua audit negara, atau pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin - tiba-tiba tauke Metrowealth International Group (MIG) itu membawa kita kembali menyedari: Eh, Malaysia ada tokoh bernam P Ramlee rupanya.

Mungkin kaedah dia membuat analogi untuk menjelaskan maksudnya adalah salah. Mungkin. Kenyataan ini bukanlah ketetapan yang mutlak bahawa David Teo salah, sebaliknya cuma mungkin salah.

Biasalah, apabila ada aksi, maka akan timbul pula reaksi. Hukum dunia begitulah. Dan dunia serta seisi alam berkembang dengan hukum sama - aksi dan reaksi.

Jika anda mahu memberikan reaksi marah kepada David Teo, marahlah, tetapi biar bersebab dan ada hujahnya. Hujah itu pula mesti cerdik, atau sekurang-kurangnya nampak cerdik.

Kalau terasa hendak memaki hamun pun, buatlah tetapi dengan syarat ia cerdik. Gunakan apa saja hujah yang berasas, fakta tepat dan rasional.

Fahamkan juga David Teo - jika anda rasa dia belum faham - tentang seni dan kepuasan berkarya kepada seniman.

Seeloknya pula David Teo jangan cepat mengalah sebaliknya jawab dengan hujah juga. Orang yang pandai berniaga biasanya cerdik juga melawan fakta dengan fakta.

Kita sudah cukup banyak aksi hujah dijawab dengan aksi menggenggam penumbuk. Selain bodoh, ia adalah bayangan kecetekan akal fikiran seseorang untuk menolak fakta yang dibentangkan di depan mereka.

Jangan ada dendam

Dari satu segi reaksi kekerasan untuk melawan hujah itu tidak lebih daripada sekadar petanda bahawa orang yang berkenaan berdepan masalah 'kurang kasih sayang'.

Mungkin sudah lama tiada publisiti diberi kepada mereka, justeru sengajalah dicari alasan untuk orang ramai kembali mengingati bahawa si polan bin si polan itu masih hidup dan garang.

Dalam isu David Teo dan P Ramlee ini, seeloknya biarlah polemik dipanjangkan. Ia tidak mengancam keselamatan negara pun, kecuali ada yang berdendam dan mengugut-ugut untuk membunuh.

Polemik itu juga rasanya tidaklah akan menyebabkan negara kerugian - misalnya - RM2.6 bilion.

Ia mungkin dianggap tidak berfaedah kepada sesetengah orang namun ada faedah lain pula untuk orang lain.

Ruang perbahasan secara waras, berhemah dan dingin di kepala dan dada perlu disuburkan. Sekali lagi diulang: Lawanlah hujah dengan hujah. Bukan emosi, kebencian atau merengus atas faktor yang tidak berkenaan. Latar belakang budaya, ras atau keturunan, misalnya.

Ketepikan hujah seperti "Kau tu siapa nak perlekeh P Ramlee" atau "Apa sumbangan kau kepada P Ramlee?".

Setiap seorang berhak memiliki pendapat sendiri walaupun tidak seorang pun berhak memaksakan pendapatnya ke atas orang lain.

Mematikan segera polemik mengenai tokoh sehebat P Ramlee kira-kira sama seperti menyapu kotoran dalam rumah ke bawah tikar. Atau mengurung sepasang panda dalam rumah khas dan serba mewah di zoo. Ia tidak akan mengurangkan belanja kira-kira RM2.5 juta setahun untuk haiwan dari China itu pun.

Walaupun biasanya begitulah kita di Malaysia ini, apa salahnya dalam isu P Ramlee ruang luas diberikan kepada sesiapa yang berkenaan - dan cerdik - untuk mengemukakan hujah masing-masing.

Dikhatankan akal dangkal

Jika Afdlin Shauki boleh tampil dengan lontaran isu hak serta harta intelek seniman, mungkin orang lain boleh memanfaatkan keadaan semasa dengan mengemukakan sudut pandang lain yang juga segar atau membangkitkan hal-hal lama dan terabaikan.

Isu royalti P Ramlee yang tak sudah-sudah, misalnya.

Budaya berbincang dengan sihat dan cerdik wajib disuburkan. Selepas 'fatwa' bahawa debat itu bukan budaya kita didoktrinkan, harapnya janganlah pula polemik pun dikhatankan oleh akal yang dangkal.

Komen David Teo mungkin melukakan sesetengah orang. Kalau itu berlaku, ia adalah salah tauke itu. Cuma janganlah seluruh orang berasa terluka dan meratap saja.

Manfaatkan polemik itu untuk mendapatkan faedah sampingan, seperti isu royalti dan hak harta intelek yang dikatakan tadi.

Kita tidak perlukan persidangan meja bulat atau meja bujur untuk membincangkan hal-hal demikian secara formal pun. Cukup degan lontaran idea bernas dan cerdik, kemudian lihat pula bagaimana reaksi pak-pak menteri mengenainya.

Walaupun mungkin tidak berapa cerdik mengharapkan sesuatu yang bernas dan real muncul segera daripada kementerian atau jabatan kerajaan, sekurang-kurangnya ada pencerahan untuk masyarakat dapat dibuat.

P Ramlee sudah melakukan tugasnya menjadi pengkritik yang tajam untuk beberapa isu semasa ketika hayatnya. Adakah kita wajar hanya terus bernostalgia tentang legasi dan mitos P Ramlee?

Kalau P Ramlee masih ada, macam mana?

Lihat Komen
ADS