Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim hari ini bertemu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaan dia dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Malaysiakini difahamkan pertemuan tersebut bermula pada kira-kira jam 4 petang tadi dan masih berlangsung.

Antara pemimpin kanan yang hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, Wan Rosdy Wan Ismail dan Mohamed Khaled Nordin.

Pertemuan itu susulan kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang memaklumkan dia akan mendapatkan penjelasan daripada Ismail berhubung dakwaan berkenaan.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, dia mahu mengetahui latar belakang kenyataan Ismail yang mendakwa terpaksa menandatangani dokumen berkenaan.

Bagaimanapun, selepas lebih dua jam pertemuan berlangsung Ismail dilihat beredar meninggalkan bangunan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ismail dilihat tergesa-gesa menaiki kenderaan rasmi Menteri Besar kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Sementara itu, pemimpin kanan Umno yang difahamkan turut sama dalam pertemuan itu enggan mengulas lanjut isu yang dibincangkan.

Manakala Setiausaha Politik Zahid, Megat Zulkarnain Omardin ketika ditemui media memaklumkan pertemuan petang tadi sekadar "minum kopi".

“Tak ada meeting apa, minum-minum saja dan semua sudah beredar,” katanya ringkas.