Peminat mendoakan segala urusan dipermudahkan buat pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli yang bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan.
Biarpun di Instagram kedua-dua pelakon Drama Suamiku Encik Sotong itu tidak memaparkan secara khusus mengenai status berkaitan perkahwinan mereka, namun peminat terlebih dahulu sudah menghidu perkhabaran baik itu.
Menerusi media sosial itu juga, Amar menulis status yang menggambarkan perasaannya selain bersyukur dengan ‘restu’ peminat.
“Ya Allah, seandainya engkau telah catatkan dia milikku tercipta buatku, satukanlah hatinya dengan hatiku, titipkan kebahagiaan antara kami, agar kemesraan itu abadi,” tulisnya.
Dia turut menyertakan imej yang tertulis perkataan: “Alhamdulillah. Terima kasih buat semua yang mendoakan Amar dan Amyra. Semoga dipermudahkan. Insyaallah.”
Manakala menerusi status Amyra di Instagram pada muat naik klip video drama Mama Nak Kahwin Please, peminat ‘menyerbu’ dengan pelbagai reaksi di ruang komen untuk menggambarkan keterujaan mereka pada pasangan yang bakal disatukan dengan ikatan perkahwinan itu.
Antaranya, pengguna akaun @sya.sya berharap dengan alam perkahwinan Amar dan Amyra masih dapat meneruskan lakonan bersama-sama.
“Tahniah! Gembiranya, tidak sia-sia dari dulu nak sangat @amyrarosli dan @amarbahrin kahwin.
“Harap sangat nanti bila dan berkahwin anda berdua masih berlakon bersama-sama,” tulisnya.
Selain itu ada peminat berasa lega kerana kedua-duanya mengaku mempunyai perasaan antara satu sama lain.
“Haa, kan bagus kalau dah mengaku,” ujar pengguna akaun @kamalhadi.
Malah ada juga mendoakan perkahwinan itu agar berkekalan: “Semoga dengan perkahwinan ini sentiasa diberkati.. Wajah seiras dan memang serasi dengan pasangan,” kata pengguna akauan @nuryyaysa_matahari_mesrasolat.
Klip video itu saja ditonton hingga 84,967 kali dan menerima sebanyak 500 komen setakat semakan Malaysiakini pada hari ini.
Sebenarnya, Amar dan Amyra kerap kali menyembunyikan status perhubungan mereka daripada pengetahuan umum.
Namun akhirnya rahsia itu dedahkan sendiri oleh pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli apabila mengumumkan mereka bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh empat bulan lagi.
Pengumuman yang bakal menyaksikan detik bersejarah pasangan itu disatukan dilakukan di sebuah kelab di Desa Melawati malam tadi.
Pertunangan kedua-dua pelakon itu bakal berlangsung pada 22 Julai dalam sebuah majlis tertutup dan akan dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak.
Majlis pernikahan akan diadakan pada 11 November, dan kemudian diiringi majlis persandingan sehari selepas itu di sebelah pihak Amyra.
Manakala untuk majlis pihak lelaki, ia akan diadakan pada 19 November, tetapi lokasi majlis belum diumumkan secara rasmi.
