Konsert yang tidak disenangi sepatutnya dihalang sejak awal, bukannya selepas kebenaran diberikan kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah serta persepsi negatif.

Penyanyi Faizal Tahir berkata jika konsert itu diteruskan, orang ramai masih mempunyai pilihan sama ada membenarkan anak-anak mereka pergi atau menghalangnya.

Tambahnya lagi, Islam itu agama yang memudahkan dan amat tidak wajar memperbesarkan isu remeh yang boleh membawa kepada perbalahan pendapat yang tidak memberikan keuntungan.

"Sesuatu perkara yang terjadi bergantung kepada pendirian kita dan cara untuk mengelaknya daripada berlaku.

"Ini lebih kepada kebolehpercayaan kepada diri sendiri.

"Ada yang didedahkan sekian lama dengan kebaikan tetapi masih tetap melakukan kejahatan.

"Begitu juga seseorang yang dilihat jahat tetapi sebenarnya baik," katanya kepada Malaysiakini.

Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas isu mengenai konsert Selena Gomez 2016 - penyanyi seksi Amerika Syarikat yang dikatakan Pemuda PAS boleh mencemarkan kemuliaan Syawal.

Faizal ditemui ketika majlis rumah terbuka Red Box dan penyerahan cek Help for the Kids di Kuala Lumpur pada semalam.

Memetik laporan Sin Chew Daily, kerajaan negeri Selangor tidak akan membatalkan konsert yang akan diadakan pada 25 Julai ini di Stadium Malawati Shah Alam selagi penganjur dan penyanyi mematuhi semua syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut memberi kenyataan mengenai imej seksi yang dikaitkan dengan penyanyi itu.

"Seksi adalah ciptaan Tuhan, ada orang seksi, ada yang tidak seksi, ada orang cantik, ada yang tidak cantik. Kenapa kita perlu kisah dengan keseksiannya dan bukan lirik atau lagunya?" ujarnya.

Menurut Faizal tidak salah membenarkan artis luar negara untuk membuat persembahan kerana ada kebaikan yang boleh diperoleh dalam memajukan industri tanah air.

Bagaimanapun, katanya persembahan itu wajarlah bersesuaian dengan adat, budaya dan agama negara.

Sementara itu, Faizal turut menekankan seniman dan penggiat industri agar mencari jalan untuk meningkatkan taraf industri muzik.

"Lebih baik kita bersama-sama memberi peluang kepada artis tempatan terutama dengan memberi mereka peluang untuk menonjolkan bakat.

"Jangan biarkan artis kita yang berbakat terkapai-kapai kerana susah cari makan dengan mementingkan penajaan kepada artis antarabangsa," katanya.