Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

World Wide Fund for Nature-Malaysia (WWF-Malaysia) mengadun agama dan aspek pemuliharaan alam menerusi siri animasi untuk mendidik generasi muda.

Siri When We’re Friends (WWF) With Nature itu dijayakan melalui usaha sama pertubuhan itu dengan anak syarikat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, KUISCELL Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysius Sharma(gambar), pendekatan itu diambil kerana mereka percaya semua agama mengajarkan kebaikan kepada masyarakat.

“Dalam setiap ajaran agama masing-masing, penganut diajar agar mencintai ciptaan Tuhan. Justeru pendekatan inovatif dan keagamaan diambil dalam mendidik generasi muda.

“Dengan menggunakan pendedahan awal begitu, generasi muda diharap dapat melihat isu pemuliharaan alam sekitar dari perspektif lebih besar dan menjadikan ia sesuatu yang lebih berharga,” katanya.

Dionysius ditemui di sidang media pelancaran WWF With Nature di Auditorium WWF di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KUISCELL Rozalafri Johori dan pengurus besar syarikat itu, Don Daniyal Don Biyajid - yang meminjamkan suaranya bagi watak Ustaz Don dalam siri animasi berkenaan.

Sementara itu Dionysius menafikan dakwaan pendekatan bukan keagamaan yang digunakan mereka selama ini tidak berkesan.

Sebaliknya, kata beliau elemen agama dianggap menjadi aspek sokongan dalam menyampaikan mesej yang mereka kehendaki.

Walaupun menggunakan Don Daniyal sebagai watak utama dalam siri berkenaan, mesej yang disampaikan tidak terhad kepada ajaran Islam semata-mata.

Beri jawapan setiap persoalan

Sebaliknya, ia turut mengambil inspirasi daripada ajaran utama di dunia seperti Buddha, Hindu dan Kristian.

Program itu dijangka menemui penonton penghujung tahun ini.

Sementara itu, Don Daniyal sempat menceritakan peranannya membawa watak Ustaz Don dalam siri animasi WWF With Nature kepada Malaysiakini.

Katanya, Ustaz Don bertanggungjawab memberi didikan moral kepada empat pelajar iaitu Aru (kanak-kanak beragama Hindu), Mimi (Buddha), Aman dan Sofya (Islam).

“Biasalah kanak-kanak sebaya mereka yang menjalani proses pembesaran, pasti banyak bertanya.

“Sebagai guru moral, tugas saya adalah memberi jawapan kepada setiap persoalan yang dikemukakan mereka,” katanya.

Bagi Don Daniyal, tiada salahnya mengetengahkan konsep pembelajaran baru menerusi keagamaan khususnya dalam hal memulihara alam sekitar.

Justeru, Don Daniyal benar-benar berharap masyarakat akan menilai agama sebagai perkara yang lebih luas dan besar berbanding hal duniawi.

“Zaman kini ramai orang beranggapan teknologi canggih dan fesyen itu mengagumkan, tetapi apa salahnya kalau kita menjadikan agama lebih ke depan berbanding itu semua,” katanya.

Lihat Komen
ADS