Pelakon dan pelawak Afdlin Shauki begitu teruja apabila angan-angan untuk merealisasikan sebuah filem dengan tema Bollywood akhirnya menjadi kenyataan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Afdlin mengesahkan dia baru saja menerima tawaran sebagai penulis skrip untuk produksi yang akan dikendalikan pengarah Vinay Sapru dan Radhika Rao.

"Tawaran itu diterima pada 30 Julai lalu apabila produksi dari Bollywood mencari-cari penulis yang boleh menghasilkan sesuatu yang menggabungkan unsur kekeluargaan, komedi dan aksi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Vinay dan Radhika pernah menghasilkan Lucky: No Time for Love dengan watak utama dimainkan oleh Salman Khan.

Menerusi status di Facebook minggu lalu, Afdlin turut berkongsi berita gembira itu bersama peminat.

Dalam status itu, Afdlin menyatakan hasratnya untuk menghasilkan karya seperti Bajrangi Bhaijaan.

"Baru hari itu bercakap hendak menghasilkan filem seperti Bajrangi Bhaijaan, tiba-tiba ditemukan dengan mereka (Vinay dan Radhika).

"Allah maha besar dan mendengar.

"Semangat baru dan semoga dipermudahkan," tulisnya.

Adlin berkata, kerjasama itu dijalankan atas tujuan meraih pasaran antara dua buah negara -Malaysia dan India.

Walaupun masih dalam perbincangan, Afdlin yakin filem berkenaan akan memulakan penggambaran pertama pada penghujung tahun ini atau selewatnya tahun depan.

"Barisan pelakon khususnya hero masih belum diputuskan tetapi heroinnya akan menggunakan pelakon tempatan.

"Penggambaran pula akan dibuat di Malaysia," katanya.

Menurutnya, walaupun membawa tema Bollywood, aksi tarian dan nyanyian yang sinonim dengan filem Hindustan akan dimuatkan hanya pada babak yang tertentu.

Aksi itu kata Afdlin tidak akan dimasukkan sesuka hati.

"Dalam filem yang berkait masyarakat kita tidak ada aksi menyanyi dan menari secara tiba-tiba misalnya di pejabat tetapi mungkin ada ketika acara perkahwinan," katanya.