Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Raja Ilya tak tolak kemungkinan kena buatan orang

Nyawa menjadi taruhan buat pelakon Raja Ilya apabila tindakan mendapatkan vaksin selepas digigit kucing menyebabkan dia mengalami alahan teruk.

Kejadian itu menurut Ilya, 31, terjadi pada Ramadan lalu hingga mengakibatkannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Insiden itu berpunca daripada kesan gigitan kucing yang saya bela dan ia membengkak.

“Mak saya menasihatkan supaya pergi mendapatkan rawatan di pusat perubatan lalu doktor memberi suntikan vaksin bagi melawan jangkitan bakteria.

“Namun, keadaan menjadi semakin parah apabila doktor kemudian mengesahkan peluang saya untuk hidup hanya tinggal 50-50,” katanya.

Raja Ilya ditemui pada sidang media pelancaran KL Vampires yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Ilya berkata sebelum dimasukkan ke PPUM, dia sebenarnya terlebih dahulu mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.

Namun, disebabkan keadaannya yang semakin kritikal, pusat terbabit meminta pelakon drama Gerak Khas itu dipindahkan ke hospital kerajaan.

“Saat itu saya berfikir tiada gunanya mempunyai insurans jika keadaan sebegini boleh berlaku.

“Dalam keadaan sakit itulah saya sedaya-upaya menggunakan telefon genggam untuk mencari hospital yang bersesuaian sebelum dimasukkan ke PPUM,” katanya.

Menurut Ilya, kes seperti itu hanya berlaku satu dalam seribu hingga menyebabkannya dikuarantin selama 14 hari di PPUM.

Ilya turut memberitahu akibat penyakit ganjil itu, timbul ketulan di bahagian badan termasuk muka yang perlu dibedah dan dibuang bagi mengelakkan perkara lebih memburuk.

“Penyakit ganjil itu turut menyebabkan timbul 12 ketulan di bahagian badan termasuk muka.

“Setakat ini saya sudah buang dua ketulan dan akan melakukan pembedahan lain hingga habis apabila tidak sibuk bekerja.

“Selain itu, saya juga perlu sentiasa mendapatkan rawatan susulan agar perkara sama tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ilya tidak menolak sekiranya masalah kesihatan dihidapi berpunca daripada perbuatan syirik seperti sihir.

Dia percaya sekiranya perkara itu berlaku, ia tidak lain tidak bukan bahawa ada pihak cuba mensabotaj perjalanan hidupnya.

“Jika melihat muka dan keadaan saya ketika itu, pasti orang ramai tidak akan menafikan sekiranya penyakit itu disebabkan terkena buatan orang.

“Apa pun sekiranya ia benar, saya ‘berterima kasih’ kerana ada yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk terbabit hingga menimbulkan kesengsaraan,” katanya dalam keadaan sinis.

Lihat Komen
ADS