Di sebalik populariti dikecapinya, tidak siapa menyangka penyanyi Lebanon Maher Zain sebenarnya lebih suka gaya hidup sederhana.

Dia antaranya lebih mengutamakan kerja amal dan tidak mengapa tidak menetap di hotel lima bintang ketika hadir untuk sesebuah persembahan.

“Sekiranya ada pengumuman jadual daripada pengurus mengenai lawatan ke Malaysia ataupun Indonesia, pada masa sama hati ini akan terdetik mengenai konsert kecil atau amal yang tidak harus dilupakan begitu saja.

“Sehinggakan seringkali kalau perlu berbuat sesuatu kebajikan, saya tidak kisah biarpun menetap di hotel yang biasa-biasa saja.

“Pada saya, perkara menjadi keutamaan adalah buat sesuatu dengan niat murni terutama dalam berjuang menyampaikan mesej yang dikehendaki,” katanya.

Maher Zain ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya One di Kuala Lumpur semalam.

Beliau juga menegaskan tidak suka bermegah-megah dan terlampau diagung-agungkan sebagai artis.

Menurut penyanyi Thank You Allah itu, bukan dia tidak menghargai layanan yang diterima tetapi biarlah dia kekal dengan sikap merendah diri seadanya.

Kurang dikenali di rumah sendiri

Perkara itu kata Maher Zain berlaku misalnya menerusi layanan ‘VIP’ yang diterima sebelum ini.

“Apabila tiba di Malaysia, pihak yang menyambut saya memberikan layanan begitu hebat. Ada yang tolong mengangkat beg, menyediakan bilik hotel besar dan mengiringi perjalanan hingga ke pintu keluar.

“Secara jujur, saya menghargai dan ia membantu mengurangkan keletihan yang ada.

“Tetapi kehidupan kembali seperti biasa apabila pulang ke negara asal dan saya perlu mengangkat beg sendiri.

“Situasi seperti itu (angkat beg sendiri) perlu untuk mengingatkan siapa sebenarnya diri ini dan ia sekali gus menimbulkan perasaan merendah diri kerana bakat diberi oleh Allah, ia tidak datang dengan sendiri,” katanya.

Maher Zain yang kini menetap di Sweden juga mengakui dia lebih selesa dengan kehidupan seperti ‘orang kebanyakan.’

Malah akui Maher Zain, namanya di Sweden tidak segah di Malaysia.

“Di Sweden ramai yang masih belum mengenali siapa saya, tetapi hal sebegitu tidak mengapa kerana saya perlu berada jauh dari radar sebagai artis.

“Saya perlu menjalani kehidupan sederhana dan tidak begitu terkenal asalkan mempunyai tempat untuk memperoleh ketenangan,” katanya.