Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah pulang trofi FFM dalam beg sampah
Diterbitkan:  Aug 9, 2016 1:16 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Mungkin kerana terlalu kecewa atau meluat bekas pemenang dua anugerah sinematografi terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) memulangkan trofinya dalam plastik sampah malam tadi.

Dilaporkan hadir di majlis dialog bersama penganjur FFM ke-28 di Kuala Lumpur Mohd Noor Kassim bertemu Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Kamil Othman di hujung sesi berkenaan.

Mohd Noor kemudian menyerahkan bungkusan plastik hitam didakwa berisi dua trofi dimenanginya kepada Kamil dalam pertemuan berlangsung hanya beberapa saat itu, lapor ProjekMMO hari ini.

Mohd Noor memenangi anugerah pengarah sinematografi terbaik pada 2009 dan 2011 masing-masing melalui filem Setem dan Hikayat Merong Mahawangsa.

FFM tahun ini mendapat kritikan sesetengah pihak kerana mengasingkan karya dianggap berbahasa Malaysia dengan bukan berbahasa Malaysia.

Sesebuah filem dianggap karya berbahasa kebangsaan jika menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa Malaysia.

Keadaan itu menyebabkan pencalonan terbahagi kepada dua kategori.

Mohd Noor adalah antara penggiat perfileman yang menolak kaedah berkenaan. Seorang lagi tokoh yang menyatakan bantahan secara terbuka ialah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.

Perbincangan jadi tegang

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Naib Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) Syed Zulkifli Syed Masir berkata untuk mengukur sesebuah karya dalam pertandingan festival filem rasmi negara, kelayakan perlu bergantung kepada bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi.

Katanya, kaedah itu turut diguna pakai di negara lain yang memberikan pengiktirafan ke atas karya yang dihasilkan di negara masing-masing.

Bagaimanapun penerbit dan pengarah filem Jagat yang diletakkan dalam kategori filem bukan berbahasa Malaysia memutuskan untuk tetap menyertai FFM dan berharap proses penambahbaikan dapat dilakukan untuk tahun akan datang.

Dalam sesi dialog selama kira-kira dua jam malam tadi turut hadir Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Datuk Yusof Haslam yang juga timbalan pengerusi Finas, serta Ketua Pegawai Eksekutif PFM Pansha.

Finas dan PFM adalah penganjur festival filem tahun ini.

Sesi perbincangan itu dilaporkan tegang apabila ada pihak mempertikaikan pencalonan dua filem anaknya untuk kategori filem terbaik.

Filem itu Munafik arahan Syamsul Yusof dan Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit arahan Syafiq Yusof. Kedua-duanya diterbitkan Skop Production Sdn Bhd milik Yusof.

Semalam Penolong Setiausaha Agung FDAM Hafiz Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai tanda memprotes cara pemilihan dan penilaian filem dalam FFM kali ini.

Mohd Noor berkata dia tidak berpuas hati dengan pengasingan pencalonan FFM ke-28 ini.

“Saya orang Melayu tetapi saya (nak) cakap, (nampaknya) orang Melayu takut bersaing dengan bangsa lain. Saya malu sebagai orang Melayu.

“Kenapa kita takut dengan persaingan sihat? Kenapa hendak bezakan Cina dan India? Dalam filem, bahasa yang penting adalah bahasa filem itu sendiri,” katanya dilaporkan ProjekMMO.

FFM 2016 berlangsung antara 1 hingga 3 September ini.

Lihat Komen
ADS