Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memansuhkan tiga kategori filem dan mewujudkan kategori Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan bagi Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) selaras dengan keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Kategori yang dimansuhkan ialah filem terbaik (bukan dalam bahasa kebangsaan), pengarah terbaik (bukan dalam bahasa kebangsaan) dan lakon layar terbaik (bukan dalam bahasa kebangsaan), menurut Finas dalam Facebooknya hari ini.

Finas berkata perubahan tersebut adalah selaras dengan keputusan KKMM semalam bahawa penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik FFM28 pada September ini dibuka kepada semua penggiat industri filem serta mewujudan kategori baharu iaitu anugerah filem terbaik bahasa kebangsaan.

Untuk itu, calon akhir bagi ketiga-tiga kategori yang dimansuhkan secara automatik akan dipertandingkan bersama calon sedia ada dalam kategori Filem Terbaik FFM28, Pengarah Terbaik FFM28 dan Lakon Layar Terbaik FFM28, katanya.

Menurut Finas, calon untuk kategori baru merupakan lima buah filem yang telah dicalonkan untuk Filem Terbaik FFM28 yang menggunakan bahasa kebangsaan, manakala kategori lain tidak berubah.


- Bernama