Penyanyi berdarah Lubnan Maher Zain mendoakan kesejahteraan buat rakyat Malaysia dalam pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pada Selasa.

Bagi Maher, 35, pertemuannya dengan perdana menteri bukan sekadar untuk berkongsi pandangan, malah menganggapnya sebagai sumber inspirasi.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak atas kata-kata perangsang yang diberi.

“Ia adalah pertemuan yang cukup menggembirakan dan kami berbincang mengenai seni, budaya, dan Islam.

“Saya juga berkongsi pandangan Malaysia dan Turki adalah negara contoh yang baik, walaupun moden ia tetap memuliakan warisan.

“Saya mendoakan yang terbaik buat Malaysia: Rakyat yang mengagumkan, negara yang hebat dan makanan juga sedap,” tulisnya dalam Facebook.

Maher ketika ini sedang rancak mempromosi album ketiganya One, yang mengambil masa satu setengah tahun untuk disiapkan.

One menggambarkan "Yang Satu" iaitu kepercayaan kepada Tuhan, dan membawa simbolik kepada seluruh masyarakat Islam dan dunia supaya bersatu padu.

Najib sebelum itu memuat naik status mengenai perjumpaannya dengan Maher, juga menerusi Facebook.

Dalam kenyataan itu, Najib memuji lagu yang disampaikan Maher kerana ia mengandungi mesej mendalam serta bermanfaat kepada pendengar.

“Maher berkongsi dengan saya album baru beliau tadi, saya suka lihat lagu di dalamnya kerana masih membawa mesej dakwah yang mengajak umat Islam ke arah kebaikan.

“Lagu-lagu seperti Thank You Allah, Insyaa Allah dan Palestine Will Be Free lebih dari sekadar hiburan, tetapi mesej dakwahnya mampu mencapai jutaan umat Islam di seluruh dunia terutama golongan muda Malaysia.

“Semoga kita semua memperoleh rahmat, Insya-Allah,” tulisnya.

Dalam pada itu, Maher turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana menganjurkan pertemuan dengan Najib.

Malah Maher turut berkesempatan menikmati raja buah Malaysia.

“Saya berjaya melakukannya!

“Saya memakan durian Musang King dan rasanya seperti ais krim vanila,” ujarnya.