Bantah roboh Puncak Purnama ke Suhakam esok
Selepas satu setengah bulan menjadi debu, sekumpulan seniman dan pencinta seni akan berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok, untuk mengadukan isu Puncak Purnama.
Kumpulan itu akan menyerahkan memorandum membantah perobohan arca Seniman Negara allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal.
Antara tokoh yang akan menyertai bantahan itu ialah Sasterawan Negara Datuk Baha Zain, Zain Azahari Zainal Abidin, U-Wei Saari, Hamidah binti Mohd Noor (balu Syed Ahmad) dan Syed Nabil Syed Ahmad (anak) serta pegawai Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Zain Azahari adalah bekas pengerusi Bank UMBC yang menyerahkan arca Puncak Purnama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 1986.
Puncak Purnama - yang terletak di Bulatan Jalan Sulaiman - dirobohkan dengan kebenaran DBKL pada 1 Julai lalu selepas dia didakwa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam keadaan tidak lagi dapat diperbaiki, selain 'menyakitkan mata'.
Bagaimanapun menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu Puncak Purnama adalah milik DBKL dan mereka berhak ke atas arca berkenaan.
Satu petisyen atas talian juga dilancarkan bagi menyatakan sokongan kepada penggiat serta pencinta seni yang membantah perobohan Puncak Purnama.
Setakat hari ini ia sudah mengumpul lebih 1,000 tandatangan.
Insiden itu menimbulkan banyak rasa tidak puas hati, termasuk beberapa Sasterawan Negara.
Selain Baha Zain, sasterawan lain yang menyatakan rasa tidak puas hati ialah Prof Dr Muhammad Salleh serta Datuk A Samad Said.
Bercakap kepada Malaysiakini Muhammad menganggap tindakan kerajaan merobohkan legasi seorang seniman negara boleh dilihat dianggap aksi buta seni dan memalukan.
Katanya tiada perkataan sesuai untuk mengungkapkan perasaannya apabila DBKL membenarkan Puncak Purnama dirobohkan awal bulan lalu.
Sementara itu Suaram dalam kenyataannya hari ini berkata insiden perobohan Puncak Purnama adalah penghinaan kepada moral dan hasil kerja penggiat seni negara.
"Karya seni ini merupakan arca awam yang bersejarah dan menjadi salah satu tanda kebudayaan serta kesenian kepada seluruh rakyat Malaysia," kata pengarah eksekutifnya, Sevan Doraisamy.
Katanya delegasi itu akan mula berkumpul di depan kompleks beli belah Sogo pada jam 1.30 tengah hari sebelum berjalan ke Menara TH Perdana di Jalan Sultan Ismail kira-kira 30 minit kemudian.
Ibu Pejabat Suhakam terletak di dalam bangunan berkenaan.

